Muallim catat jumlah penduduk wanita tertinggi – Exco

IPOH – Daerah Muallim mencatatkan jumlah penduduk wanita tertinggi di Perak, malah turut tersenarai antara daerah di negara ini yang merekodkan nisbah penduduk wanita lebih tinggi berbanding lelaki.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, perkara itu disedari selepas beliau meneliti data berkaitan jumlah warga menua dan jumlah pengundi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mula mengambil tindakan dengan memberi ruang kepada wanita di daerah berkenaan untuk menyuarakan pandangan dan keperluan mereka menerusi pelbagai program.

“Ini agak mengejutkan apabila saya dapat tahu bahawa Muallim mempunyai populasi wanita yang paling tinggi di Perak, bahkan dalam negara, Muallim turut termasuk dalam senarai tersebut.

“Tetapi untuk tindakan itu sebenarnya kita sudah mula. Pada dua tiga hari lalu, kita adakan program ‘Open Mic with Kak Sal’ yang memberi ruang kepada wanita-wanita di Muallim untuk terlibat secara langsung, memberi pandangan untuk bajet responsif wanita, terutamanya, dan perkara-perkara lain yang boleh kita santuni.

“Jadi, tidaklah saya menyangka Muallim itu berada dalam satu kawasan yang mempunyai kategori wanita yang paling ramai. Itu Allah SWT dah atur. Maknanya, orang di situ ramai wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin dan turut dihadiri Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 14 daerah di seluruh negara merekodkan jumlah penduduk perempuan lebih tinggi berbanding lelaki berdasarkan Anggaran Penduduk Semasa Daerah Pentadbiran 2026.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilaporkan berkata, nisbah jantina merujuk kepada bilangan lelaki bagi setiap 100 perempuan dalam sesuatu kawasan bagi tempoh berkenaan.

Menurut DOSM, Muallim merekodkan jurang paling ketara dengan nisbah 92 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala Bachok di Kelantan dan Samarahan di Sarawak masing-masing mencatatkan nisbah 94 lelaki bagi setiap 100 perempuan, Song di Sarawak pula merekodkan nisbah 95 lelaki bagi setiap 100 perempuan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak peruntuk RM900,000 perkasa wanita, lebih 7,000 terima manfaat

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI