Muhammad Imran, Farah Nabilah Johan Bintang Asli Remaja Perak

IPOH – Muhammad Imran Abdullah, 22 dan Farah Nabilah Habibi, 23, muncul johan bagi pertandingan Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Perak 2024 yang diadakan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini, malam tadi.

Mereka yang memenangi bagi kategori lelaki dan perempuan masing-masing membawa pulang wang tunai RM800, piala iringan dan sijil penyertaan serta mewakili Perak untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim menyampaikan hadiah kepada pemenang diiringi Pengarah JKKN Perak, Abd Rashid Abdullah.

Muhammad Imran, Farah Nabilah Johan Bintang Asli Remaja Perak
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bergambar bersama pemenang Pertandingan Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Perak 2024 di Auditorium, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 SEPTEMBER 2024.

Seramai lapan peserta yang berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas kira-kira 30 peserta berentap menerusi saringan yang dihantar menerusi video sebelum ini.

Sementara itu, Muhammad Imran mengucapkan rasa syukur dan tidak menyangka akan memenangi pertandingan berkenaan.

Muhammad Imran, Farah Nabilah Johan Bintang Asli Remaja Perak
Peserta membuat persembahan pada Pertandingan Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Perak 2024 di Auditorium, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 SEPTEMBER 2024.

“Alhamdulilah saya tak sangka dapat johan di negeri Perak. Ini disebabkan sokongan dari keluarga yang merupakan tulang belakang saya untuk teruskan menyanyi lagu Melayu Asli.

“Saya mula menyanyi lagu Melayu Asli sejak di sekolah rendah hasil didikan daripada ibu dan ayah. Selain itu, saya juga sudah mula menyertai pelbagai pertandingan melibatkan lagu tradisional Melayu, Melayu Asli dan syair Melayu.

“Itu membuatkan jiwa saya mula ‘sayang’ lagu-lagu Melayu Asli,” katanya ketika ditemui MG Perak, malam tadi.

Pelajar Tahun Kedua Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, generasi muda pada zaman sekarang dilihat kurang yang berminat dengan lagu Melayu Asli.

“Bagaimanapun, kita kena usaha untuk memartabatkan lagu Melayu Asli supaya dapat dipersembahkan kepada generasi pada masa hadapan,” katanya yang memilih lagu, ‘Mas Merah’ sebagai taruhan pada pertandingan tersebut.

Farah Nabilah berkata, dia terkejut selepas diumumkan sebagai johan bagi kategori perempuan selepas membawakan lagu ‘Embun Menitik’ pada pentas akhir malam tadi.

Menurutnya, dia bermula dengan genre irama Malaysia sewaktu belasan tahun serta mendapat tunjuk ajar daripada ibu penyanyi Asmidar iaitu Asmaloma berhubung lagu-lagu Melayu Asli.

Muhammad Imran, Farah Nabilah Johan Bintang Asli Remaja Perak
Johan Perempuan, Farah Nabilah Habibi, 23, ketika membuat persembahan pada Pertandingan Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Perak 2024 di Auditorium, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 SEPTEMBER 2024.

“Saya terkejut menang sebenarnya. Ini kali pertama saya menyertai pertandingan dan Alhamdulillah rezeki menyebelahi saya dan keluarga turut bersama-sama beri semangat serta sokongan kepada saya.

“Kepada generasi generasi muda yang ada bakat dalam lagu Melayu Asli, teruskan berjuang.

“Saya yakin generasi sekarang ini tidak ramai yang mampu membawa genre ini dengan baik tetapi mereka boleh belajar dengan pakar untuk mempertingkatkan kemahiran masing-masing,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Merdeka X Hingofest 2024 tarik 40,000 pengunjung

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI