Naib Canselor UPSI dinobat Ikon Rekreasi Luar Outdoor Expo 2026

TANJUNG MALIM – Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dinobatkan sebagai Ikon Rekreasi Luar sempena Program Outdoor Expo 2026.

UPSI dalam satu kenyataan berkata, Md Amin merupakan individu yang bertanggungjawab membangunkan Kurikulum Pendidikan Kanu Kebangsaan dan Manual Pendidikan Kanu Kebangsaan yang menjadi standard pembelajaran sukan kanu di Malaysia, Brunei serta Kepulauan Riau, Indonesia.

“Selain itu, beliau turut terlibat dalam penulisan lebih 20 buku teks, modul, prosedur operasi standard (SOP), kurikulum dan standard rekreasi luar yang digunakan oleh pelbagai kementerian, agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara.

Kecenderungan beliau dalam bidang itu turut diterjemahkan menerusi penubuhan Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA), Glamping Park, Adventure Park, ResQ Team, Mountain School yang sedang dalam proses penubuhan serta Marina Kayak di UPSI,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua inisiatif berkenaan memberi impak signifikan terhadap pembangunan industri rekreasi luar di Malaysia.

“Prof. Md Amin turut memainkan peranan dalam pembangunan industri arus deras negara menerusi pembukaan pelbagai pusat arus deras di Gopeng, Ulu Slim, Sungai Chamang dan Sungai Bernam yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat serta kelestarian alam sekitar.

“Atas sumbangan dalam industri rekreasi luar, beliau sebelum ini menerima Anugerah Sukarelawan Sukan Negeri Perak (2013), Anugerah Kembara Negara (2014), Anugerah Tokoh Rekreasi Luar Kebangsaan (2018) dan Tokoh Sukan Kanu Kuala Lumpur (2022),” katanya.

Md Amin dalam kenyataan sama berkata, anugerah tersebut bukan milik beliau seorang, sebaliknya menjadi lambang pengiktirafan kepada semua penggiat rekreasi luar di Malaysia.

Katanya, pengiktirafan itu turut menghargai jasa penggiat rekreasi luar yang aktif sejak penubuhan Outbound School di Lumut, Program Malaysia Cergas, Program Rakan Muda serta Pusat Kokurikulum Kebangsaan.

“Saya berharap anugerah yang diterima ini menjadi manifestasi terhadap jasa dan pengorbanan setiap rakan di luar sana yang berkorban tenaga, masa dan usaha dalam menjadikan industri rekreasi luar di Malaysia sebagai pemangkin ekonomi negara yang signifikan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Program Outdoor Expo 2026, Fathee Razali berkata, pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan signifikan Md Amin dalam pembangunan bidang rekreasi luar dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Katanya, Outdoor Expo 2026 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur itu menghimpunkan lebih 50,000 penggiat dan peminat sukan lasak dari seluruh negara.

“Program anjuran Team Outdoor Expo Malaysia dengan kerjasama rakan strategik serta badan sokongan termasuk Persatuan Penganjur-penganjur Aktiviti Lasak Malaysia (PPALM) ini merupakan penganjuran kali kelima.

“Ia menjadi platform bagi menghargai atlet dan penggiat sukan rekreasi luar di negara ini,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI