IPOH – Walaupun harga barang meningkat, seorang peniaga memberanikan diri menjual sarapan pada harga RM1 dengan niat berkongsi rezeki bersama orang ramai.
Mula berniaga di tepi jalan besar Pengkalan Pegoh sejak lima bulan lalu, Suhaiza Shamsuddin, 42, berkata, dia menjual lebih 30 jenis kuih muih termasuk nasi lemak, mi goreng, bihun goreng, kuetiau goreng, nasi himpit, agar-agar, bubur dan roti jala.
Antara kuih yang paling laku keras di gerainya adalah seri muka, karipap, onde-onde, sagu, tepung talam dan roti jala
Menurutnya, sebelum ini dia telah menjalankan pelbagai jenis perniagaan antaranya menjual nasi bajet, buah-buahan serta pernah membuat gubahan bankuet untuk hari jadi namun kurang mendapat sambutan.
Malah, bekas pekerja kedai buku ini juga hampir buntu memikirkan apakah jalan terbaik untuk menambah pendapatan keluarga mereka.
Katanya, sebelum berniaga di kawasan berkenaan, dia pernah menjual nasi lemak, bebola jeli (jelly ball) dan sengkuang calit dengan harga RM1 di hadapan sebuah sekolah berhampiran.
“Pada satu hari, ibu mendapat idea untuk menambah pendapatan kami sekeluarga dan mencadangkan kami menjual sarapan pagi RM1.
“Ibu juga berkata secara tidak langsung kami dapat membantu orang kurang berkemampuan untuk membeli selain boleh memudahkan ibu bapa untuk dijadikan bekal untuk anak-anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui MG Perak baru-baru ini.
Semua orang boleh bersedekah
Dalam pada itu, Suhaiza berkata, orang yang berkemampuan juga turut singgah ke gerainya dan membeli dalam kuantiti banyak untuk bersedekah.
“Mereka yang berkemampuan pun ada singgah (gerai) dan ada rezeki lebih mereka akan datang beli dalam RM30 ke RM50 atau lebih untuk sedekah ke tempat lain. Secara tidak langsung mereka memanjangkan rezeki kepada orang lain.
“Melalui perniagaan kecil-kecilan ini, saya dapat berkongsi rezeki, walaupun saya tak mampu kongsi dalam jumlah besar tetapi dengan menawarkan harga murah saya dapat bantu mereka yang tak mampu,” jelasnya.
Kuih muih hasil tangan sekeluarga
Dia turut menjelaskan keistimewaan kuih muih termasuk makanan lain yang dijual di sini adalah semuanya disediakan oleh air tangan ahli keluarga termasuk dirinya sendiri.
“Semua kami buat sendiri. Ibu, suami, anak dan suaminya serta saya mula buat kuih sendiri seawal jam 3 hingga 6 pagi.
“Selepas selesai membungkus semua makanan tersebut kami akan mula berniaga sekitar jam 6.30 pagi,” ujarnya.
Suhaiza juga turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang memasang niat untuk berniaga sepertinya boleh mencuba supaya lebih ramai lagi yang dapat membantu golongan memerlukan.
Sementara itu, seorang pelanggan Nurasyikin Zakaria, 29, dari Pengkalan Pegoh berkata, dalam keadaan ekonomi sekarang, memang susah untuk dapatkan harga makanan yang ditawarkan dengan RM1.
“Walaupun dijual dengan harga murah, rasa kuih muih yang dijual ini sedap. Kualiti dengan harga jualan seperti tidak masuk akal. Semoga penjual terus dimurahkan rezeki,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Biskut raya Opah Chik, Opah Su cuma RM6
MGPerak: Niat Berkongsi Rezeki, Peniaga Jual Sarapan RM1