Nik Nazmi serah surat tuntutan kepada Chegubard

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, melalui peguamnya telah menyerahkan Surat Tuntutan kepada Badrul Hisham Shaharin agar menarik balik serta-merta dan memohon maaf secara terbuka atas kenyataan berunsur fitnah berhubung projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Nik Nazmi memaklumkan surat tuntutan itu telah diserahkan kepada Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard, semalam berhubung dakwaan kes rasuah RTB bernilai lebih RM16 bilion yang didedahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

“Beratnya tuduhan palsu ini memerlukan tindakan undang-undang yang tegas untuk menjaga nama baik dan kewibawaan saya, Kementerian dan Kerajaan Persekutuan.

“Komitmen kami kekal dalam menegakkan kebenaran dan membetulkan tanggapan serong ekoran tuduhan tidak berasas seperti ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dengan berlangsungnya prosiding undang-undang itu, ia mengesahkan dedikasi pihaknya terhadap ketelusan serta pematuhan kepada proses undang-undang dan pada masa yang sama turut mengalu-alukan sebarang siasatan oleh pihak polis untuk bertindak atas dakwaan itu.

Pada 21 Dis lepas, Chegubard mendakwa kononnya berlaku elemen rasuah dalam pelaksanaan projek RTB dikendalikan oleh kementerian itu membabitkan nilai lebih RM16 bilion dan terdapat syarikat serta individu yang langsung tidak dikenali memperoleh komisen sebagai proksi kepada menteri.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI