KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani mengalami pembaziran wang berjumlah RM28.79 juta akibat kelewatan penggantian kenderaan konsesi yang telah tamat tempoh pajakan, demikian dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kelewatan pembekalan kenderaan baharu menyebabkan kementerian dan agensi pengguna terpaksa meneruskan penggunaan 5,323 kenderaan lama melebihi tempoh pajakan asal antara 48 hingga 60 bulan.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan kerajaan terus membayar kos sewaan tetap bulanan penuh selain menanggung kos penyelenggaraan yang lebih tinggi berbanding penggunaan kenderaan baharu.
“Kerajaan terpaksa membayar kos penyelenggaraan bulanan (repairs and maintenance) yang jauh lebih mahal berbanding jika kenderaan digantikan dengan kenderaan baharu yang mempunyai kos penyelenggaraan tahun pertama lebih rendah,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan Penyata PAC berhubung Pengurusan Kenderaan Kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi Kementerian Kewangan (MOF).
Penyata itu dihasilkan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 3 Tahun 2025 yang mendapati pengurusan kenderaan konsesi kerajaan kurang memuaskan, antaranya kelewatan syarikat konsesi SPANCO Sdn. Bhd. membekalkan kenderaan kepada kerajaan serta kegagalan mengenakan penalti terhadap kelewatan berkenaan.
Mas Ermieyati berkata, PAC menjalankan tiga prosiding bermula 3 hingga 18 November tahun lalu bagi mengenal pasti punca kelewatan, tindakan yang telah dan sedang diambil kerajaan serta penyelesaian terbaik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam tidak terjejas.
Antara saksi yang dipanggil memberikan keterangan ialah wakil Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan SPANCO Sdn. Bhd.
Hasil siasatan PAC mendapati terdapat kelemahan pengurusan kontrak oleh MOF selaku kementerian yang menguruskan perjanjian konsesi bagi pihak kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa selama 15 tahun bermula 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037.
Menurutnya, kelemahan itu termasuk jurang komunikasi antara MOF dengan kementerian serta agensi pengguna, kekeliruan mengenai tempoh mula pengenaan penalti dan kegagalan mengedarkan dokumen kontrak kepada pihak berkaitan.
“Situasi ini menyebabkan kerajaan lewat mengutip penalti kelewatan pembekalan kenderaan bernilai jutaan ringgit daripada SPANCO Sdn. Bhd.,” katanya.
PAC turut mendapati terdapat perbezaan ketara antara anggaran penalti asal kelewatan pembekalan kenderaan yang dibuat pihak audit iaitu RM54.51 juta dengan amaun yang disemak bersama kementerian dan agensi pengguna sebanyak RM18.7 juta bagi 27 kementerian, tidak termasuk KDN.
Mas Ermieyati berkata, sebahagian kelewatan turut dipengaruhi kelemahan pengurusan kerajaan sendiri seperti perubahan varian model kenderaan, proses birokrasi agensi, pendaftaran nombor khas kenderaan, pemasangan peralatan operasi khusus serta faktor luar jangka termasuk kebakaran kapal kargo pengangkut kenderaan.
Dalam pada itu, PAC mendapati kelewatan pembekalan khususnya Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) untuk kegunaan menteri dan pegawai kanan kerajaan tidak menjejaskan fungsi utama penyampaian perkhidmatan awam serta keselamatan negara secara kritikal.
Bagaimanapun, kelewatan tersebut menyebabkan kementerian dan agensi pengguna terpaksa menanggung kos tambahan melalui penyewaan kenderaan luar komersial menggunakan peruntukan sedia ada.
Sehubungan itu, PAC mengemukakan lima syor penambahbaikan termasuk meminta MOF memasukkan mekanisme baharu dalam perjanjian tambahan bersama SPANCO supaya kadar pajakan bulanan tidak dikenakan bagi kenderaan yang telah tamat tempoh pajakan tetapi masih digunakan akibat kelewatan pembekalan kenderaan baharu.
PAC turut mengesyorkan supaya tempoh pembekalan 60 hari bekerja bagi penggantian kenderaan dikaji semula dengan mengambil kira kemampuan sebenar industri automotif, proses kastam, pendaftaran kenderaan, pemasangan peralatan operasi khusus serta faktor penghantaran ke Sabah dan Sarawak.
Selain itu, MOF disaran memastikan sistem digital pemantauan fleet digunakan sepenuhnya oleh semua kementerian dan agensi pengguna bagi memberikan amaran awal sebelum tempoh pajakan kenderaan tamat.
PAC juga mencadangkan MOF bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri menjalankan kajian terhadap model pengurusan alternatif seperti sistem multi-supplier fleet management bagi menilai potensi penjimatan kos dan kecekapan perkhidmatan berbanding model konsesi tunggal yang mengikat kerajaan sehingga 2037. – MalaysiaGazette


