IPOH – Skuad Para Negeri Perak langkah kanan selepas menghadiahkan tiga pingat emas sulung kepada kontinjen negeri pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, di Kuching, Sarawak, pada Isnin.
Emas pertama disumbangkan atlet Mohd Afnan Azhar melalui sukan para olahraga acara lontar cakera lelaki F40, yang berlangsung di Stadium Sarawak.
Atlet berusia 25 tahun itu berada di kedudukan pertama melalui kutipan mata 20.67, mengalahkan tujuh pencabar lain.
Dua lagi emas disumbangkan Muhammad Faiz Haizat Rosdi, 27 melalui sukan para olahraga acara trek 100 meter lelaki T38 serta Nurul Farha Abdul Hamid melalui sukan para memanah acara kompaun wanita.
Sementara itu, skuad para negeri juga meraih tiga pingat perak hasil dua pingat disumbangkan atlet para olahraga dan satu para memanah.
Mohammad Norfitri Abdullah dan Nuraini Muhammad Shukri masing-masing menghadiahkan perak melalui acara trek 100 meter lelaki T45 dan 100 meter wanita T36.
Manakala K Kumar, melalui sukan para memanah meraih pingat sama pada acara kompaun W2/ST melalui kutipan mata 657.
Pada masa sama, Kontinjen Para Perak juga meraih dua gangsa masing-masing disumbangkan Megat Nur Izzat Faiz Megat Noor Azre dan Nurul Fathiah Jamaluddin.
Megat Nur Izzat Faiz meraih pingat itu pada sukan para memanah melalui acara kompaun lelaki W2/ST sementara Nurul Fathiah menerusi para ping pong dalam acara perseorangan kerusi roda wanita terbuka.
Setakat petang tadi, skuad ‘belang tarung tiga warna’ berada di kedudukan ke lapan dengan jumlah pungutan lapan pingat.
Para SUKMA membuka tirai melalui upacara perasmian pembukaan yang berlangsung di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, malam tadi.
Ia dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sebanyak 328 pingat emas daripada 10 jenis sukan iaitu olahraga, powerlifting, badminton, renang, ping pong, boling padang, memanah, boccia, tenpin boling dan catur menjadi buruan atlet pada temasya sukan yang berlangsung sehingga 28 September ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: