PAU 2026 September ini, UMNO susun langkah hadapi PRU16

KUALA LUMPUR Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bakal berlangsung pada 11 hingga 12 September depan, sekali gus menjadi pentas penting parti itu menyusun strategi politik menjelang pilihan raya akan datang.

Berdasarkan takwim rasmi yang dikeluarkan UMNO, PAU 2026 akan didahului dengan taklimat Presiden serta majlis perasmian serentak bagi Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO pada 9 September.

Pada 10 September pula, persidangan melibatkan tiga sayap utama parti iaitu Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO akan berlangsung sebelum kemuncak perhimpunan tahunan itu diadakan selama dua hari bermula 11 hingga 12 September.

PAU merupakan medan utama buat kepimpinan tertinggi, perwakilan dan akar umbi UMNO menilai perjalanan parti selain membincangkan hala tuju perjuangan, isu semasa serta pendekatan baharu dalam mendepani cabaran politik negara.

Perhimpunan kali ini dijangka mendapat perhatian besar susulan perkembangan politik semasa termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selain kedudukan UMNO dalam kerjasama politik sedia ada.

Lebih menarik, momentum kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Johor dan Negeri Sembilan dijangka menjadi antara fokus utama PAU 2026.

Kejayaan itu bakal menjadi suntikan semangat kepada parti berkenaan dalam merangka strategi baharu, termasuk persiapan menghadapi PRN Melaka yang bakal menjadi ujian seterusnya terhadap kekuatan politik UMNO dan BN.

PAU 2026 juga dijangka menjadi medan untuk kepimpinan parti memperkukuh gerak kerja akar umbi serta memastikan jentera UMNO berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan landskap politik negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI