Pekerja kontrak mengaku tidak bersalah amang seksual anak yatim piatu

TELUK INTAN – Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Teluk Intan, pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu berusia 11 tahun, pada dua minggu lalu

Tertuduh, VK Nalenthiran, 34, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa telah menyentuh bahagian anggota badan seorang kanak-kanak perempuan dengan maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Batu 3 ½, dekat sini sekitar jam 11.30 pagi, pada 10 Mac lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dihukum dengan sebat.

Pekerja kontrak tak mengaku salah amang seksual kanak-kanak perempuan yatim piatu teluk intan 11 tahun
Pekerja kontrak VK Nalenthiran, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Teluk Intan, pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada dua minggu lalu. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 MAC 2024.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Rishan Kumar, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGK), S Kumaresan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 25 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga memerintahkan untuk tertuduh memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa.

Terdahulu, mengikut fakta kes, pada 10 Mac, tertuduh telah ke rumah mangsa untuk berjumpa dengan rakannya, iaitu bapa saudara kepada kanak-kanak perempuan itu kerana ingin mengajak lelaki berkenaan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Ketika berada di rumah tersebut, tertuduh telah menghampiri mangsa yang sedang mencuci pakaian di bahagian belakang rumah.

Kanak-kanak 11 tahun itu kemudian ditarik masuk ke tandas di rumah berkenaan sebelum tertuduh bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu.

Mangsa kemudian memberitahu ibu saudaranya tentang kejadian itu sebelum dibawa untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Teluk Intan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Jurulatih hoki didakwa lakukan amang seksual empat remaja lelaki

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI