Pelajar ILP mengeletar pulas minyak motosikal nampak harimau

KAMPAR – Perjalanan pulang pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, ke kediaman keluarganya di Kampung Manduk Sahom di sini, bertukar ketakutan selepas terserempak dengan harimau belang sekitar jam 9.30 malam pada Jumaat.

Menceritakan detik cemas berkenaan, Muhammad Hafizzudin Asri, 21, berkata, ketika kejadian beliau sedang menunggang motosikal sebelum melihat bayang haiwan yang disangka lembu melintas laluan Sahom ke Chenderiang.

Menurut Muhammad Hafizzudin, bagaimanapun sangkaannya meleset sama sekali apabila telihat seekor harimau belang melintas di hadapannya pada jarak kira-kira dua meter.

“Ketika itu hujan renyai-renyai dan saya menunggang motosikal pada kelajuan sekitar 60 kilometer sejam sahaja memandangkan laluan berkenaan tidak mempunyai lampu jalan dan gelap.

“Pada mulanya saya nampak bayang gelap ingatkan lembu, tetapi bila semakin dekat saya tengok harimau belang melintas dan menggeletar satu badan masa itu,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pelajar ILP mengeletar pulas minyak motosikal nampak harimau
Pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Muhammad Hafizzudin Asri menunjukkan lokasi dan tapak kaki harimau belang yang melintas dihadapannya pada Jumaat malam di laluan Sahom ke Chenderiang, Kampar. Foto, Ihsan Muhammad Hafizzudin Asri.

Bercerita lanjut, pelajar Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara ILP itu berkata, selepas terlihat kelibat berkenaan, dia tidak lagi menoleh ke kiri atau kanan serta belakang kerana khuatir dikejar harimau tersebut.

“Hanya Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu dan bayangkan seumur hidup saya pertama kali melihat harimau belang yang bebas bergerak benar-benar di hadapan saya.

“Saya tak toleh belakang dah dan terus memecut mencari rumah penduduk kampung yang ada di laluan tersebut untuk berlindung sekiranya dikejar harimau berkenaan,” katanya.

Ujarnya lagi, setibanya di rumah penduduk kampung berhampiran dia segera memaklumkan terlihat harimau belang dilaluan berkenaan sebelum ditenangkan orang ramai.

“Mereka kemudiannya mengumpulkan beberapa orang untuk meninjau lokasi kejadian dan ternyata apa yang saya lihat memang harimau belang kerana terdapat sekitar enam tapak kaki harimau di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah Allah benar-benar melindungi saya dan laporan sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di mana mereka telah hadir meninjau lokasi kejadian,” katanya.

Awal November lalu, Perhilitan Perak mengesahkan kelibat harimau belang dikesan di dua lokasi berasingan membabitkan Pos Kuala Mu di Sungai Siput dan Kampung Sahom di Kampar.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, Kampung Sahom terletak berdekatan Hutan Simpan Salu, dan pihaknya mengandaikan harimau yang dikesan dekat perkampungan itu berkemungkinan tersesat. – MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Tiada Pak Rimau di Gopeng

Bangkai Pak Belang ditemukan di lebuh raya PLUS

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI