Tiada Pak Rimau di Gopeng

IPOH – Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim menafikan kemunculan Pak Rimau di Gopeng dan menjelaskan video-video yang muncul di Internet tidak berlaku di Gopeng.

Sebelum ini, orang ramai telah menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menyebarkan gambar yang menunjukkan lembu dibaham oleh harimau dan video kemunculan haiwan itu, yang dikatakan mengambil tempat di Gopeng.

Susulan daripadanya, Kok Lim berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia atau Perhilitan telah mengesahkan kepadanya bahawa tidak menerima laporan tentang kemunculan harimau di Gopeng.

Kok Lim justeru membidas golongan tidak bertanggungjawab yang menyebarkan video dan gambar dengan maklumat yang tidak betul.

“Gambar dan video ini adalah bahan lama dan ada orang yang mendakwa apa yang sebenarnya berlaku di Gua Musang sebagai berlaku di Gopeng.

“Janganlah menyebar gambar-gambar ini kerana ia akan menimbulkan kerisauan orang ramai,” katanya kepada Sinchew Daily.

Pada akhir bulan lalu, Kok Lim pernah mengesahkan kemunculan harimau di Kuala Mu di Sungai Siput.

Walau bagaimanapun, Kuala Mu merupakan habitat harimau dan haiwan tersebut tidak keluar dari rimba atau mengancam pertempatan manusia.

Kelibat harimau juga dikesan di Kampung Sahom di Kampar dan Perhilitan telah memasang jerat di kawasan berkenaan untuk menangkap Pak Belang.

“Adalah biasa untuk orang yang selalu memasuki hutan untuk terserempak dengan harimau.

“Lagi pun kami berusaha untuk melindungi harimau, maka adalah sesuatu yang luar biasa jika kita tidak nampak kelibat harimau di hutan.

“Walau bagaimanapun, Perhilitan memantau pergerakan harimau supaya mereka tidak mengganggu kawasan manusia,” kata Kok Lim. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI