Pelan penambahbaikan keselamatan lapangan terbang dibentang ke Kabinet minggu depan

KOTA BHARU – Pelan penambahbaikan kawalan keselamatan lapangan terbang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu depan susulan insiden penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia berkaitan penemuan dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lepas, dengan semua agensi kawal selia berkaitan diarahkan mengemukakan pelan penambahbaikan berkenaan.

Beliau berkata antara yang terlibat termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan (MOT), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia  (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Semalam telah diadakan mesyuarat bersama-sama agensi berkenaan dan saya difahamkan bahawa pada mesyuarat Kabinet minggu depan, satu kertas mengenai pelan penambahbaikan kawalan keselamatan di lapangan terbang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, pada Khamis lepas, di rumah keluarganya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pelan penambahbaikan itu akan menyentuh aspek koordinasi, latihan, infrastruktur dan logistik, termasuk kawalan terhadap mesin imbas serta pihak yang mengendalikannya.

Beliau berkata mesin imbas di lapangan terbang dikendalikan pasukan AVSEC dan mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa yang memberi penekanan kepada pengesanan bom, senjata tajam dan pistol.

“Sekiranya pada skrin terpapar kontraban, sememangnya dapat dikesan pada mesin imbas. Namun, prosedur pemeriksaannya tidak termasuk dalam kawalan keselamatan biasa yang dikendalikan oleh polis atau AKPS, jadi aspek berkenaan kita perlu selaraskan semula,” katanya.

Beliau berkata usaha penyelarasan itu sedang dilaksanakan dan pelan berkenaan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh seminggu.

Ditanya mengenai kementerian yang akan membentangkan kertas berkenaan, beliau berkata perkara itu masih belum diputuskan sama ada oleh KDN atau MOT.

Saifuddin Nasution berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempersembahkan perkara berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menunjukkan keprihatinan tinggi dan menggesa semua pihak terlibat memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan lapangan terbang.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan tetapi juga nama baik negara yang mempunyai pencapaian cemerlang dari segi ketibaan pelancong.

Pada 29 Julai lepas, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.

Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI