KUALA KANGSAR – Rendang Tok merupakan makanan tradisional Melayu yang cukup terkenal dan ikonik bagi Negeri Perak.
Menurut cerita masyarakat tempatan, nama Rendang Tok dipercayai wujud sebagai memperingati jasa orang tua yang dipanggil ‘Tok’ pada pangkal nama, kerana jasa mengajarkan anak cucu mereka resepi masakan berkenaan.
Selain itu, ia juga dipercayai pada asalnya hanya merupakan hidangan bagi kerabat diraja dan orang kenamaan, namun akhirnya kini Rendang Tok dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.
Nora Aishah Ibrahim, 64, yang mewarisi resepi penyediaan Rendang Tok turun-temurun daripada orang tuanya telah mula mengasaskan perniagaan juadah itu sejak 15 tahun lalu.
Anak kelahiran Kampung Talang, dekat sini, memberitahu, perniagaan Rendang Tok Yoep Kuala Kangsar itu diusahakan bersama suami, Ahmad Rosly Abdul Aziz, 64, anak serta menantu.
Katanya, bermula dengan menjual Rendang Tok secara berbungkus, kemudian beralih ke kaedah pensterilan atau retort, kini Nora Aishah tidak menang tangan mengusahakan Rumah Makan Rendang Tok Yoep sejak dibuka dua tahun lalu.
“Kami memulakan perniagaan Rumah Makan Rendang Tok Yoep di rumah agam Melayu lama ini selepas mendapat banyak permintaan pelanggan yang mahukan suatu tempat yang boleh menjamah juadah tradisional itu.
“Di sini kami menyediakan menu pagi iaitu nasi lemak Rendang Tok, lempeng pisang, lempeng kelapa, roti arab dan nasi goreng.
“Sementara juadah utama Rumah Makan Rendang Tok Yoep menyajikan set ketupat, set lemang, set talam, dan set talam meriah raya, dengan setiap satu hidangan atau set diberi pilihan sama ada mahu Rendang Tok daging, ayam, atau kambing.
“Bagi set talam meriah raya, istimewanya kami menyediakan ketiga-tiga jenis rendang tok, ketupat, lemang, jelatah serta Rendang Tok Lamb Shank,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Rumah Makan Rendang Tok Yoep, dekat sini.
Nora Aishah yang mesra disapa Kak Cik berkata, selain mengolah resipi tradisional itu dengan cara tersendiri, Rendang Tok yang dihasilkan juga dimasak masih mengekalkan kaedah dengan menggunakan kayu api.
Jelasnya lagi, lazimnya dianggarkan 240 ke 400 kilogram (kg) daging Rendang Tok dimasak dengan setiap satu mengambil masa kira-kira empat jam bagi memenuhi permintaan harian pelanggan.
Dia yang sebelum ini pernah mendapat perhatian warganet dek kerana wajahnya seakan-akan wajah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkata, penangan media sosial memainkan peranan penting dalam mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan.
“Kami sering menerima pelanggan dari luar Perak antaranya dari Kuala Lumpur, Kedah dan sebagainya yang datang ke sini semata-mata hendak merasai juadah Rendang Tok.
“Selepas memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), produk Rendang Tok Yoep berjaya menembusi pasaran sehingga ke Brunei dan Singapura.
“Selain itu, kami juga ada menghasilkan sembilan jenis pau termasuk yang berasaskan kepada inti daging Rendang Tok sebagai produk sampingan,” katanya yang juga mendapat bimbingan daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
Sepanjang tempoh menceburi perusahaan itu, Nora Aishah memberitahu, menerima kehadiran tetamu diraja ke Rumah Makan Rendang Tok Yoep pada Februari tahun lalu antara memori yang akan sentiasa dikenang.
Dia berkata, sememangnya tidak menyangka kedai makan juadah tradisional Perak itu menerima keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara tidak dirancang.
“Pada awal saya seolah-olah tidak percaya apabila dimaklumkan oleh pegawai istana bahawa Tengku Mahkota Pahang akan berangkat ke Rumah Makan Rendang Tok Yoep.
“Walaupun persiapan secara sederhana, baginda tetap sudi berangkat ke kedai kami. Saya juga sempat bertanyakan pendapat Tengku Hassanal tentang juadah Rendang Tok kami.
“Apabila Tengku Hassanal memaklumkan yang baginda amat menggemarinya, perasaan seronok itu tidak dapat digambarkan bagaimana,” katanya lagi.
Tambah Nora Aishah, Rumah Makan Rendang Tok Yoep juga bertuah apabila menerima kehadiran maestro negara, Datuk M Nasir dan isteri Datin Marlia Musa baru-baru ini, di samping menerima maklum balas yang positif tentang hidangannya.
Dalam pada itu, dia berkata mereka sekeluarga sedang merancang untuk memperkenalkan beberapa menu baharu di situ termasuk Rendang Tok yang berasaskan kepada daging itik, pada masa akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warisan tradisional berdiri utuh biar pun menjangkau 100 tahun