Peniaga desak isu bumbung Gerbang Malam diselesaikan segera

IPOH – Sebahagian daripada 130 peniaga berlesen Gerbang Malam di sini meluahkan rasa tidak puas hati kerana bumbung di lokasi tumpuan pelancong itu hanya dibina separuh sahaja.

Wakil peniaga, Roslan Ali berkata, pembinaan bumbung itu penting untuk melindungi peniaga dan pengunjung terutamanya pada waktu hujan.

Menurutnya, Gerbang Malam bukan sahaja terkenal dalam kalangan rakyat di negara ini malah menjadi salah satu destinasi wajib singgah pelancong luar negara.

Peniaga harap isu bumbung Gerbang Malam diselesaikan segera
Wakil peniaga Gerbang Malam, Roslan Ali.

“Kami meminta supaya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memasang bumbung di gerai jualan sepanjang jalan ini untuk melindungi peniaga dan pengunjung.

“Ramai pelancong dari luar negara seperti Amerika Syarikat, London, Jepun dan China berkunjung ke sini.

“Malah, tempat ini juga dipenuhi pengunjung dari seluruh Malaysia terutamanya sewaktu musim cuti sekolah, cuti am dan cuti perayaan.

“Bagaimanapun, pengunjung terpaksa berteduh di kaki lima kedai berhampiran jika cuaca hujan dan perniagaan kami juga turut terjejas akibat tidak dilindungi bumbung,” katanya ketika ditemui MG Perak malam tadi.

Beliau yang juga Presiden Aj We Care sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa telah menghantar memorandum mengenai perkara berkenaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 19 Julai tahun lalu.

“Pejabat Menteri Besar Perak juga sudah menghantar sesalinan surat kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin pada 21 Julai tahun yang sama berhubung memorandum itu namun sehingga kini MBI masih belum memberi jawapan,” dakwanya lagi.

Dalam pada itu, Roslan turut memohon MBI meneliti semula jalan berbatu yang dibina di sepanjang Gerbang Malam atas faktor keselamatan orang ramai.

Peniaga harap isu bumbung Gerbang Malam diselesaikan segera
Wakil peniaga, Roslan Ali menunjukkan batu jalan yang rosak di Gerbang Malam yang didakwa membahayakan pengunjung.

“MBI perlu melihat semula sama ada penggunaan batu-batu jalan di sini selamat kepada pengunjung khususnya seperti orang kurang upaya (OKU) yang menaiki kerusi roda.

“Sehubungan itu, saya yang mewakili peniaga-peniaga serta pengunjung berharap perkara ini dapat diselesaikan segera memandangkan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi,” jelasnya.

Sebelum ini, MBI telah membina bumbung di Gerbang Malam tetapi hanya menutupi hampir separuh daripada gerai jualan di kawasan tersebut. – MG Perak

Artikel berkaitan: Perak jangka lebih 20,000 pengunjung hadir pelancaran TMP 2024

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI