Penoreh didenda RM12,000 simpan burung dan daging

KUALA KANGSAR – Seorang penoreh getah didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki spesis hidupan liar yang dilindungi tiga tahun lalu.

Tertuduh Ahmad Yahaya, 37, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Menurut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menyimpan seekor burung murai batu (copsychus malabaricus) manakala pertuduhan kedua dan ketiga pula dia didakwa menyimpan daging kijang (muntiacus muntjak) dan daging rusa sambar (rusa unicolor).

Kesemua haiwan tersebut merupakan hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa kebenaran.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut di sebuah rumah di Kampung Sira Panas, Bersia Lama di Gerik pada pukul 7 petang, 25 Mei 2020.

Tertuduh kemudiannya dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 60(1)(b) Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Nor Hani Abdul Samat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Hani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh mengambil kira kepentingan awam dan memberi pengajaran kepada tertuduh selain memohon agar hidupan liar yang disita itu dilucuthakkan kepada Perhilitan.

Tertuduh kemudiannya memohon hukuman denda minimum atas alasan mempunyai tanggungan seorang anak yang masih kecil dan bekerja sebagai penoreh getah.

Rohaida kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI