Penunggang motosikal maut langgar besi terjatuh dari lori

TAIPING – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar besi yang terjatuh dari sebuah lori dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 207.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 47 tahun maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal wanita yang melalui kawasan berkenaan cedera selepas terlanggar motosikal mangsa.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, kemalangan itu melibatkan enam buah kenderaan iaitu tiga buah kereta, dua buah motosikal dan sebuah lori.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku akibat persekitaran yang gelap disebabkan tiada lampu jalan sebelum besi dari sebuah lori telah tercabut dan jatuh ke atas jalan raya.

“Insiden itu menyebabkan tiga buah kereta melanggar besi tersebut mengalami kerosakan namun tiada yang cedera.

“Bagaimanapun, motosikal mangsa yang melalui kawasan tersebut telah terlanggar besi sama telah terbabas lalu terjatuh di kiri jalan.

“Mangsa kemudiannya meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan berat yang melalui lebuh raya itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang seorang wanita telah melalui kawasan kemalangan itu dan melanggar motosikal mangsa.

Katanya, wanita berusia 43 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Inspektor Mohd Shahrin Mohamad di talian 017-9266 286 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Serangan jantung: Warga emas maut, kereta dipandu terbabas

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI