Penyu Agar dipasang penjejak satelit masih berada di Cherating

KUALA LUMPUR – Data pemantauan satelit Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menunjukkan dua ekor ibu penyu agar yang dipasang penjejak satelit di Pantai Cherating masih berada di sekitar perairan Cherating, sekali gus membolehkan corak pergerakan dan penggunaan habitat spesies berkenaan dipantau bagi menyokong pengurusan konservasi berasaskan bukti saintifik.

Pemantauan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penyelidikan penyu marin melalui penggunaan teknologi, membolehkan DOF memperoleh maklumat  pergerakan penyu selepas musim bertelur serta mengenal pasti habitat penting bagi spesies berkenaan.

Menurut DOF, pemasangan penjejak satelit telah dilaksanakan pada 5 Julai 2026 menerusi kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia dan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang terhadap dua ekor ibu penyu yang mendarat untuk bertelur di Pantai Cherating.

Kedua-dua penyu tersebut kemudiannya dilepaskan semula ke habitat semula jadi dari Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating pada 8 Julai 2026, jam 6 petang.

Penyu pertama yang dikenal pasti melalui tag MYC6603/MYC6604 mempunyai berat 116 kilogram, direkodkan mendarat buat kali pertama pada 1 Julai 2026 dengan 140 biji telur sebelum kembali mendarat pada 12 Julai 2026 dan menghasilkan 76 biji telur.

Manakala penyu kedua yang membawa tag MYC6601/MYC6602 pula mempunyai berat 159 kilogram dan rekod menunjukkan penyu tersebut mendarat pada 2 Julai 2026 dengan 112 biji telur dan sekali lagi pada 16 Julai 2026 dengan 82 biji telur.

“Sistem penjejak satelit menghantar maklumat lokasi secara automatik ke satelit setiap empat jam apabila penyu timbul ke permukaan untuk bernafas. Sehingga kini, salah seekor penyu telah direkodkan muncul ke permukaan sebanyak 18 kali, sekali gus membolehkan data lokasi dihantar
secara berkala melalui sistem satelit,” kata DOF dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Roslan bin Abu Hassan berkata, penggunaan teknologi satelit membolehkan Jabatan mengumpulkan maklumat lapangan secara lebih sistematik bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu.

“Data yang diterima melalui penjejak satelit membolehkan Jabatan meneliti corak pergerakan, laluan migrasi dan penggunaan habitat penyu selepas musim bertelur. Maklumat ini menjadi asas penting dalam merancang langkah pengurusan dan konservasi spesies berkenaan secara lebih
berkesan,” ujarnya.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh juga membantu mengenal pasti habitat penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha melindungi penyu, di samping memperkukuh penyelidikan dan pengurusan sumber marin berasaskan bukti saintifik.

Kos perolehan bagi setiap unit penjejak satelit adalah sekitar RM21,000 dan dibiayai menerusi peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) serta sumbangan daripada Bumi Armada Berhad.

Data yang diperoleh daripada pemantauan satelit akan dimanfaatkan bagi menyokong penyelidikan Jabatan Perikanan Malaysia dalam memahami taburan dan pergerakan penyu, sekali gus memperkukuh perancangan pengurusan serta pemuliharaan spesies ini, tambah DOF. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI