LARUT – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM700,000 bagi melaksanakan dua projek infrastruktur di daerah Selama.
Menurut Saarani, daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan bahu jalan serta sistem perparitan di kawasan Pasar Pagi Sungai Bayor.
“Sambil berjalan tadi YDP (Yang Dipertua) Majlis Daerah Selama ada sebut orang ramai terpaksa berhenti-henti bila melalui jalan pasar pagi ini kerana ruangnya sempit disebabkan kiri kanan ada peniaga.
“Jadi YDP dan rakan-rakan dia telah membuat kajian dan mereka mahu melebarkan baju jalan Pasar Pagi Sungai Bayor supaya pengunjung dan peniaga selesa. Maka kita luluskan RM500,000 menggunakan peruntukan MARRIS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Komuniti Sejahtera: Karnival Selamanya Di Hati 3.0 dan Temasya Pasar Pagi Sungai Bayor, Selama di sini, pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Saarani turut mengumumkan kelulusan peruntukan MARRIS sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja penggantian jambatan yang roboh di Kampung Tanjung Lengkong, Mukim Ulu Selama.
Katanya, projek itu penting bagi memastikan kemudahan asas penduduk setempat berada dalam keadaan selamat dan dapat digunakan tanpa menjejaskan aktiviti harian mereka.
Mengulas potensi pelancongan daerah Selama, Saarani berkata, pembangunan infrastruktur yang lebih baik mampu meningkatkan daya tarikan kawasan itu yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi.
Menurutnya, beberapa lokasi rekreasi air terjun di daerah tersebut termasuk Lata Tebing Tinggi, Lata Damak, Lata Rambong, Lata Panggung, Lata Buluh dan Lata Titi antara produk pelancongan yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
“Apabila kemudahan infrastruktur dipertingkatkan dan hubungan antara tarikan pelancongan, pasar tempatan serta produk komuniti dapat diperkukuhkan, ia akan memberi pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung yang datang ke Selama,” katanya.
Beliau berharap semua projek yang diluluskan dapat dilaksanakan mengikut jadual demi manfaat penduduk serta pembangunan ekonomi dan pelancongan daerah berkenaan. -MG Perak


