IPOH – Kerajaan Negeri Perak memohon kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan proses pembinaan bangunan baharu bagi menggantikan Hospital Kampar yang sudah uzur dan tidak lagi sesuai untuk memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk setempat.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, keadaan hospital sedia ada semakin membimbangkan apabila kerap berlaku kerosakan pada bangunan, khususnya melibatkan bahagian bumbung.
Menurutnya, sebelum ini pada tahun 2019 kerajaan Persekutuan dalam bajet telah memperuntukkan RM500 juta untuk hospital baru ini.
“Kita semua faham kedudukan Hospital Kampar yang telah uzur dan sering kali ada kerosakan berlaku kepada bangunan, khasnya bumbungnya dan perkara ini dalam pengetahuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Atas sebab itu KKM bersetuju untuk membina satu bangunan gantian.
“Hospital lama ini sangat susah untuk dibaiki dan lokasinya tidak sesuai serta tidak mesra pesakit khususnya untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas tanpa kenderaan. Selain itu, ia turut menyukarkan orang ramai untuk bergerak antara blok ketika musim hujan.
“Susulan itu, atas persetujuan KKM, kita telah mengenal pasti 11 lot tanah di Kampar dan wang sebanyak RM506,190 telah pun dibayar untuk lot-lot ini oleh kerajaan Persekutuan. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan serius dalam keputusan membina hospital baru,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Sivanesan berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) semalam sebulat suara menyokong pembinaan hospital berkenaan.
“Jadi saya mohon kepada Menteri Kesihatan dan Perdana Menteri supaya menyegerakan projek pembinaan Hospital Kampar yang baru,” ujarnya.
Sebelum ini, berlaku kebocoran serius di Hospital Kampar menyebabkan petugas kesihatan terpaksa menggunakan payung bagi melindungi pesakit di dalam wad.
Perkara itu dikongsikan pengguna media sosial yang menyaksikan sendiri suasana berkenaan apabila air hujan menitis di dalam wad selain beberapa kali gangguan elektrik menyebabkan peralatan perubatan seperti mesin ventilator turut terjejas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Hospital baharu di Kampar akan rangsang pembangunan setempat – Mohd Azlan


