Perak pacu kemandirian ekonomi OKU melalui program pembolehdayaan

IPOH – Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU) supaya lebih berdikari menerusi kemahiran dan keusahawanan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program berkenaan bukan sekadar menyediakan bantuan sebaliknya memberi ruang kepada institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan OKU untuk mengembangkan potensi ekonomi golongan berkenaan.

Menurut beliau, fokus utama program adalah menyediakan sokongan kepada penerima yang melaksanakan latihan kemahiran serta aktiviti keusahawanan termasuk membantu mereka mengembangkan perniagaan dan program peningkatan ekonomi sedia ada.

“Program ini kita fokus kepada institusi dan NGO yang memainkan peranan untuk memperkasa OKU, khususnya melalui latihan kemahiran dan keusahawanan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika sidang media pada Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 OGOS 2026.

“Kebanyakan penerima sudah mempunyai perniagaan atau program peningkatan ekonomi masing-masing, jadi kerajaan negeri membantu supaya usaha mereka dapat diperkasakan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Program Pembolehdayaan Modal Insan Dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Salbiah berkata, pendekatan berkenaan penting kerana sebahagian institusi dan NGO berkenaan menjalankan aktiviti ekonomi secara kecil-kecilan, namun berdepan kekangan kewangan untuk mengembangkan program masing-masing.

Katanya, program yang diperkenalkan sejak tahun lalu itu turut menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluaskan peluang pembangunan kapasiti golongan sasaran, termasuk OKU.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika sesi bergambar pada Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 OGOS 2026.

“Pada tahun lepas kita fokus kepada institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), manakala tahun ini kita buka peluang lebih luas kepada NGO yang terlibat dalam konteks keusahawanan.

“Melalui dana yang disuntik ini, kita mahu mereka lebih berupaya dan mampu meningkatkan lagi aktiviti yang sudah dilaksanakan,” katanya.

Tambah Salbiah, sebanyak RM80,000 diperuntukkan kepada tujuh NGO dan institusi yang terlibat dalam program berkenaan, dengan kebanyakan penerima menerima antara RM8,000 hingga RM10,000 pada tahun ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri turut melihat potensi untuk memperkukuh program berkenaan pada masa hadapan dan telah mengemukakan cadangan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) serta Unit Perancang Ekoomi Negeri (UPEN) supaya ia dipertimbangkan dalam Bajet 2027.

“Kita tengok nanti, mungkin ada penambahan dalam bajet untuk program pembolehdayaan ini,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI