IPOH – Kerajaan Negeri Perak memandang serius ke atas isu gangguan seksual dan penganiayaan terhadap golongan lelaki yang semakin meningkat di negara ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, isu yang kerap dilaporkan di media sejak akhir-akhir ini itu menunjukkan ia tidak boleh dikesampingkan.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan melihat keperluan untuk menggerakan usaha bagi membendung isu gangguan seksual dan penganiayaan terhadap lelaki di Perak.
“Usaha yang akan digerakkan itu melibatkan kepada program berbentuk pengukuhan dalam institusi keluarga. Ini kerana kaum lelaki adalah tunjang kepada sesebuah keluarga.
“Dari segi bentuk program pula, kita akan lihat kepada kaedah pelaksanaan serta pengisian-pengisian sesuai yang mampu menarik minat golongan lelaki ini untuk hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Perak di Pekarangan Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perak, Nurfarhana Lee Mohd Zulkiiflee Lee serta Timbalan Pengarah JKR Negeri, Suhaizad Sulaiman.
Selain itu, Salbiah menyarankan kepada sesiapa sahaja, lelaki atau wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual mahupun penganiayaan, untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Kata beliau, stigma atau tabu masyarakat sehingga menyebabkan sebahagian besar mangsa lelaki lebih memilih untuk mendiamkan diri daripada membuat laporan harus dikikis.
“Adakala masalah itu menjadi berlarutan ekoran tiada tindakan wajar dapat diambil dek kerana ia tidak diadukan kepada sesiapa.
“Oleh kerana itu sesiapa sahaja, terutama lelaki, sekiranya menjadi mangsa (kepada gangguan seksual atau penganiayaan) untuk berkongsi masalah itu.
“Misalnya di LPPKN, kita ada kaunselor yang boleh memberikan khidmat sokongan dan kaunseling untuk memastikan emosi lelaki khususnya yang menjadi ketua keluarga stabil serta mampu membimbing keluarganya,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, aduan berkaitan gangguan seksual terhadap golongan lelaki semakin meningkat di negara ini,
Dilaporkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jerayawara Kasih KPWKM @ Antigangguan Seksual menerima lebih 1,000 aduan gangguan seksual terhadap lelaki membabitkan pelbagai peringkat usia, sejak program itu dilancarkan tahun lepas. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
187 lelaki buat laporan jadi mangsa gangguan seksual tahap tinggi