187 lelaki buat laporan jadi mangsa gangguan seksual tahap tinggi

IPOH –  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengakui masih terdapat banyak kes gangguan seksual dalam kalangan masyarakat yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. 

Katanya jenayah yang bersifat subjektif dan sukar untuk dibuktikan menjadi antara punca mengapa mereka yang menjadi mangsa jenayah seksual tidak berani tampil membuat laporan. 

Justeru katanya usaha kerajaan dalam menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] diharap mampu membantu semua pihak menyelesaikan dan menangani jenayah berkenaan. 

Katanya, setakat ini dianggarkan sekurang-kurangnya 187 mangsa jenayah seksual dalam golongan lelaki telah tampil membuat laporan berhubung perkara itu.

“Sebelum ini, bilangan mangsa yang buat laporan berhubung jenayah seksual yang mereka alami tidak ramai, mungkin disebabkan mereka tidak berani dan sebagainya. 

“Namun ketika ini, saya lihat ada penambahan bilangan laporan ketara terutama daripada mangsa-mangsa dalam golongan lelaki daripada seluruh negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual di Hotel Casuaria Meru Raya, dekat sini, pada Khamis. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Koperasi, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed.

Menurutnya berdasarkan kepada statistik inventori terkini yang diperolehi melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN) itu, seramai 575 golongan mangsa wanita direkodkan membuat laporan berkenaan jenayah seksual. 

Katanya daripada jumlah berkenaan, seramai 472 mangsa lelaki dan wanita dilaporkan mengalami gangguan seksual bagi kategori tahap rendah, 215 tahap sederhana, 85 tahap tinggi sementara tiada laporan diterima bagi kategori tahap gangguan seksual  kritikal.

“Gangguan seksual tahap rendah melibatkan gangguan secara gurauan, manakala tahap sederhana melibatkan gangguan antaranya secara lisan, bahasa lucah dan penggunaan isyarat lucah semasa berkomunikasi dengan mangsa. 

“Sementara bagi tahap tinggi pula, ia melibatkan gangguan seperti pelaku mengajak mangsa untuk melakukan aktiviti seksual, perbuatan menjelir lidah serta melakukan pandangan secara ghairah kepada mangsa. 

“Untuk kategori kritikal pula, ia termasuk gangguan seksual yang boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa sama ada secara fizikal atau mental sehingga memerlukan mangsa mendapatkan psikiatri,” jelasnya.  – MG Perak

 

BACA SELANJUTNYA: Perak akan bina makmal NR-REE pertama di Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI