KPWKM akan lantik 10 ahli panel Tribunal Antigangguan Seksual

IPOH – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melantik ahli panel bagi tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang bakal terdiri daripada 10 orang.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ketika ini pihaknya sedang mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi proses seterusnya. 

KPWKM telah mendapat kelulusan untuk melantik pegawai bagi perjawatan untuk ahli panel tribunal berkenaan yang mana ia akan melibatkan kategori pentadbiran dan perundangan. 

“Ketika ini kami sedang mengemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk meneliti dari segi proses kadar gaji dan sebagainya,” katanya. 

Menurutnya urusan pelantikan yang terdiri daripada 10 ahli dan masing-masing seorang presiden dan timbalan presiden itu turut akan melibatkan Peguam Negara (AG). 

Sebelum ini media melaporkan KPWKM  bakal  memuktamadkan pembentukan tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Tribunal itu bertanggungjawab untuk mendengar dan melaksanakan proses pendakwaan atau pengadilan terhadap setiap aduan berkaitan gangguan seksual.

Akta Antigangguan Seksual 2022 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Oktober lalu dan diwartakan 18 Oktober tahun sama.

Nancy sebelum itu ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual Siri Ke-11 di Hotel Casuaria Meru Raya, dekat sini, pada Khamis. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Koperasi, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed.

Ketika berucap pada majlis, Nancy berkata amat penting bagi semua pihak untuk meneruskan perbincangan isu gangguan seksual memandangkan sesetengah pelaku mungkin menganggap tindakan mereka sebagai jenaka yang tidak berbahaya atau salah faham. 

“Normalisasi perlakuan ini seharusnya tidak boleh berlaku. Tiada ruang langsung yang wajar diberikan kepada gangguan seksual, sama ada secara terang-terangan atau jenaka,” katanya. – MG Perak. 

 

BACA SETERUSNYA : 187 lelaki buat laporan jadi mangsa gangguan seksual tahap tinggi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI