KUALA KANGSAR – Kerajaan Negeri Perak menerusi Sekretariat Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak (STeP) mengambil pendekatan baharu dengan memperluaskan Program Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak sehingga ke peringkat mukim.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan lebih ramai usahawan, peniaga, penjaja serta bakal usahawan mendapat akses kepada maklumat bantuan dan bimbingan yang disediakan kerajaan.
Menurutnya, program tersebut adalah siri ketiga bagi tahun ini dan empat lagi siri akan diteruskan dalam jelajah berikutnya.
“Pada kali ini kita turun sehingga ke peringkat boleh mukim. Kalau sebelum ini jelajah kita akan pergi ke daerah-daerah untuk memberi akses kepada usahawan dan bakal usahawan berkaitan dengan bantuan ataupun bimbingan, pinjaman yang ada daripada agensi-agensi.
“Tetapi kita mengambil pendekatan yang lebih holistik untuk turun sehingga ke akar umbi sebab kita masih mendapat maklum balas yang banyak usahawan, peniaga dan penjaja tidak tahu berkaitan dengan bantuan yang sedia ada.
“Sebab itu, kita beri mereka peluang untuk mengetahui lebih terperinci mengenai apa inisiatif yang disediakan oleh kerajaan,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak 2026 Daerah Kuala Kangsar di pekarangan Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri di sini hari ini.
Katanya, objektif utama program itu bukan semata-mata mengejar sasaran jualan, sebaliknya menyediakan platform kepada usahawan untuk mendapatkan maklumat daripada agensi, memasarkan produk serta membuka lebih banyak akses kepada peluang pembangunan perniagaan.
“Sebenarnya kita tidak fokus kepada sasaran jualan kerana matlamat jelajah ini adalah menyediakan platform kepada, pertamanya usahawan untuk mendapatkan maklumat daripada agensi.
“Keduanya, untuk usahawan memasarkan produk yang mereka ada dan ketiga kita nak beri akses. Kalau jualan itu baik, alhamdulillah.
“Ramai sebenarnya usahawan tidak tahu untuk memasarkan produk mereka, jadi sebagai agensi yang berkaitan dengan keusahawanan, STeP dan juga koperasi (Suruhanjaya Koperasi Malaysia Perak) mengambil peluang ini untuk cuba sama-sama memperkenalkan produk-produk yang ada di daerah-daerah termasuklah di sini,“ ujarnya.
Mengulas sambutan program, Salbiah memaklumkan kehadiran pengunjung di Kota Lama Kiri melebihi jangkaan, terutama pada sesi pagi, sekali gus membuktikan pendekatan membawa program ke mukim mendapat respons positif daripada masyarakat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Jelajah Yakin’ sampaikan inisiatif kerajaan negeri kepada rakyat


