Perak peruntuk hampir RM17 juta perkasa sekolah menengah tahfiz

LENGGONG – Perak memperuntukkan hampir RM17 juta pada tahun ini bagi pengurusan lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) di negeri ini sebagai usaha memperkukuh pendidikan tahfiz berkualiti.

Lima SMTDR berkenaan adalah di daerah Manjung di Pulau Pangkor, Kerian (Semanggol), Hulu Perak (Lenggong), Batang Padang (Sungai Lesung) dan Tambun (Ipoh).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu meliputi operasi sekolah, emolumen guru, latihan, makanan pelajar, kebajikan asrama serta kerja penyelenggaraan.

Menurut beliau, komitmen berterusan kerajaan negeri itu mencerminkan keutamaan terhadap pembangunan pendidikan yang bukan hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata.

“Perkara yang lebih utama ialah memastikan suasana pembelajaran yang baik, kebajikan pelajar dipelihara dan guru-guru terus mempunyai ruang terbaik untuk mendidik generasi pewaris negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong di Kampung Tersusun Bukit Sapi, di sini, pada Selasa.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian dengan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Saarani berkata, keunikan SMTDR Lenggong terletak pada pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Tahfiz yang menggabungkan pengajian tahfiz al-Quran dengan akademik arus perdana menerusi aliran Sains Tulen dan Pengajian Islam.

Kata beliau, pendekatan itu membuka peluang lebih luas kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang profesional selain melahirkan generasi ulul albab yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan pemikiran.

“Negeri dan negara memerlukan lebih ramai anak muda yang kuat ilmunya dan jelas nilai hidupnya.

“Daripada institusi seperti SMTDR ini, kita menaruh harapan agar lahir jurutera yang amanah, doktor yang berihsan, pendidik yang berjiwa murabbi, penyelidik yang teliti, usahawan yang jujur, teknokrat yang berintegriti dan pemimpin yang menjadikan ilmu serta akhlak sebagai asas khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Saarani, dunia masa kini memerlukan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual, malah memiliki kebijaksanaan untuk menggunakan ilmu dan kepakaran ke arah kebaikan.

Ujar beliau, dalam era kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan ledakan maklumat, kemajuan perlu dipandu oleh nilai murni supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secara menyeluruh.

Saarani berkata, perkembangan institusi pendidikan tahfiz dan aliran ulul albab membuktikan pelajar yang diasuh berteraskan al-Quran mampu mencapai kecemerlangan akademik setanding aliran lain.

“SMTDR Lenggong memperlihatkan peningkatan prestasi akademik apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 3.28 pada tahun 2023 kepada 2.05 pada tahun 2024, sebelum mencatatkan GPS 2.18 pada tahun 2025.

“Pencapaian ini meletakkan SMTDR Lenggong sebagai sekolah kedua terbaik dalam kalangan lapan Sekolah Menengah Agama Negeri di bawah kelolaan JAIPk selama dua tahun berturut-turut,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Program tahfiz penjara Perak bantu prospek dalami al-Quran, bentuk sahsiah baharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI