Perak sasar lebih 1,000 pemilikan pensijilan halal menjelang 2030

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyasarkan lebih 1,000 syarikat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi di negeri ini memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelang 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan statistik yang diperoleh seramai 882 pemegang sijil halal di Perak sehingga Mac 2023 merupakan peniaga yang terdiri daripada syarikat serta PMKS.

Menurut beliau, perkembangan itu dilihat amat signifikan dan selari dengan sasaran Kerajaan Negeri Perak untuk meningkatkan jumlah usahawan yang mengeluarkan produk berstatus halal menjelang 2030.

“Seperti yang saya katakan sekarang di Perak ada 882 perniagaan memiliki sijil halal, jadi kita akan meningkatkan bilangan berkenaan dari masa ke semasa dan Perak menyasarkan lebih daripada 1,000 menjelang 2030.

“Jika kita berjaya melepasi sasaran lebih daripada 1,000 perniagaan memiliki sijil halal ia merupakan satu pencapaian besar selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir merasmikan Jelajah Halal Malaysia 2023, Negeri Perak, di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, Kerajaan Negeri Perak juga berharap dapat mendidik dan membimbing lebih ramai usahawan muda bagi memperoleh pensijilan halal daripada JAKIM.

Ujar beliau, pihaknya juga berharap agar usahawan muda yang berjaya memperoleh pensijilan halal akan memberi motivasi kepada usahawan lain terutamanya golongan belia untuk mengikut jejak mereka.

“Ini bukan sahaja dapat mengekalkan jumlah pensijilan halal sedia ada di Perak malah menambah jumlah berkenaan menjelang 2030 selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Selain itu juga, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) juga mempunyai sasaran yang ditetapkan dalam melatih usahawan tertentu bagi mendapatkan sijil halal bagi perniagaan mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut memaklumkan beliau bahawa ia sedang memproses lebih 300 permohonan sijil halal dari usahawan negeri ini. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih 800 syarikat di Perak peroleh pensijilan halal

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI