Perak zahir penghargaan lantikan Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong

GERIK – Kerajaan Perak menzahirkan penghargaan terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas pelantikan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau yang mewakili rakyat jelata turut menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu yang telah membuat keputusan berkenaan menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, Ibu Negara, pada Jumaat.

“Mewakili rakyat Negeri Perak, kita menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu yang membuat keputusan memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah tentu ini merupakan penghargaan dan berita gembira bagi seluruh rakyat Negeri Perak dan kami seluruh rakyat mendoakan semoga ALLAH sentiasa merahmati dan memberi petunjuk kepada baginda dalam menjalankan tugas tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan cermin mata bagi Program Yayasan Perak Eye Sinar 2023 bersempena Majlis Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar bersama warga pendidik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak di sini, pada Jumaat.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan memaklumkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam pemilihan yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, siang tadi.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan tahun depan.

Mesyuarat itu turut memilih Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari ini, yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Sultan Johor dipilih Agong ke-17, Sultan Nazrin sebagai timbalan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI