Perbincangan Lenggong jadi UNESCO Global Geopark di peringkat akhir

LENGGONG – Perbincangan dalam usaha menjadikan Lembah Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) berada di peringkat akhir.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu proses penilaian lapangan yang akan dibuat Jawatankuasa UGGp dalam tempoh terdekat.

Kata beliau, penilaian berkenaan akan melibatkan pakar termasuk Naib Presiden Global Geopark Network (GGN), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, dan Pakar Arkeologi Dunia Datuk Dr Mokhtar Saidin.

“Segala dosier atau dokumen-dokumen penting yang diperlukan telah kita angkat (serahkan kepada jawatankuasa berkenaan untuk penilaian seterusnya).

“Justeru, dalam hal ini kita optimis kerana Lenggong sememangnya berkeupayaan (untuk menerima pengiktirafan global berkenaan). Dan keputusan tentang perkara dijangka akan diperoleh menjelang tahun hadapan,” katanya.

Perbincangan Lenggong lembah UNESCO UGGp Shamsul jawatankuasa
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah merasmikan Penyerahan Bot Pondok Polis Kampung Beng di Balai Polis Lenggong.
Turut hadir, Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 JANUARI 2025.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bot Pondok Polis Kampung Beng dan Penyerahan Kunci Kuarters Balai Polis Lenggong di Balai Polis Lenggong, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat; Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hassan serta Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, Lembah Lenggong sememangnya kaya dengan tapak warisan dan arkeologi bertaraf antarabangsa.

Justeru Shamsul berkata, kesemua ciri berkenaan dilihat mampu menjadi nilai tambah buat daerah ini untuk mendapat pengiktirafan sama selepas Kinabalu dan Langkawi.

“Untuk mengekalkan status di bawah UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu), ia juga perlu melalui penilaian berterusan dalam satu-satu tempoh.

“Dan saya amat yakin bahawa pentabir dan kerajaan negeri akan sedaya upaya memastikan status yang diperoleh di Lenggong ini dapat terus dikekalkan,” jelasnya.

Pada April tahun lalu, media melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam komited untuk mengangkat Sarawak Delta Geopark di Sarawak dan Lenggong Geopark sebagai UGGp.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, pengiktirafan itu penting dalam usaha kerajaan melonjak lebih banyak Geopark Kebangsaan memperoleh status UGGp yang dilihat mampu memberi impak positif kepada negara.

Pada 30 Jun 2012, UNESCO mewartakan Lembah Lenggong sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia sekali gus mengangkat daerah di Negeri Perak itu sebagai warisan penting dalam bidang arkeologi dunia.

Perbincangan Lenggong lembah UNESCO UGGp Shamsul jawatankuasa
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi bergambar pada Majlis Penyerahan Bot Pondok Polis Kampung Beng dan Penyerahan Kunci Kuarters Balai Polis Lenggong di Balai Polis Lenggong.
Turut hadir, Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 JANUARI 2025.

Dalam perkembangan lain Shamsul memberitahu, kerja-kerja menaik taraf kemajuan infrastruktur Kampung Angkat Madani KDN di Kampung Beng berada pada tahap 85 peratus.

Beliau berkata, kesemua projek yang dibangunkan di kampung berkenaan berjalan mengikut jadual, namun dua projek masih dalam pembinaan iaitu pintu gerbang dan pondok polis.

Pada Mei tahun lalu, KDN memilih Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani dengan memperuntukkan RM2.5 juta bagi pembangunan sektor pelancongan dan taraf hidup penduduk. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lenggong raih enam anugerah pada Perak Tourism Award 2024

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI