IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor harimau belang betina berhampiran Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, di sini, pada Rabu.
Pengarah Perhilitan Perak, Mohd Taufik Abdul Rahman berkata, haiwan seberat 94 kilogram itu berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang 17 Julai lalu.
Beliau berkata, ia ekoran terdapat aduan daripada pemilik kandang lembu dilokasi berkenaan mengenai kehadiran haiwan liar tersebut.
“Perangkap harimau dipasang pada 17 Julai selepas kami menerima aduan daripada pemilik kandang lembu.
“Kami kemudiannya menerima maklumat pada pukul 12.40 tengah hari, 22 Julai bahawa harimau tersebut berjaya memasuki perangkap,” katanya ketika dihubungi.
Katanya lagi, pemeriksaan yang dijalankan mendapati haiwan yang dianggarkan berusia 10 tahun itu berada dalam keadaan sihat dan hanya mengalami luka ringan di bahagian muka.
“Harimau itu akan dihantar ke Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan di Sungkai untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohd Taufik berkata, operasi memindahkan harimau berkenaan turut mendapat bantuan pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kehadiran hidupan liar kepada Perhilitan dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengundang risiko.
“Sebarang aduan berkaitan hidupan liar hendaklah disampaikan kepada Jabatan Perhilitan.
“Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri seperti mencederakan atau membunuh hidupan liar kerana haiwan yang cedera boleh menjadi lebih berbahaya kepada manusia,” katanya. – MG Perak


