Perikanan Perak sita 49 ikan larangan bernilai RM8,300

IPOH – Jabatan Perikanan Perak merampas 49 ekor ikan larangan dengan nilai sitaan dianggarkan RM8,300 dalam Operasi Pemutihan Ikan Larangan di Premis Akuarium Ikan Hiasan yang dijalankan sebuah premis ikan hiasan di Kampung Tawas, di sini pada Isnin.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, spesies ikan yang dirampas adalah amazon redtail (dua ekor), ikan bongkok atau geophagus (42), aligator gar (tiga ekor), gulper catfish dan flower horn masing-masing seekor.

Menurutnya, operasi tersebut bersifat memberi kesedaran dan amaran diberikan kepada pemilik premis supaya tidak mengulangi kesalahan sama serta mereka masih memiliki ikan larangan tersebut tindakan akan diambil ke atas mereka.

Perikanan Perak sita 49 ikan larangan bernilai RM8,300
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap ketika Operasi Pemutihan dan Kesedaran Ikan Larangan Di Premis/Kedai Akuarium lkan Hiasan Di Negeri Perak di sebuah premis Kampung Tawas, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 OKTOBER 2024.

“Operasi ini adalah satu langkah proaktif yang diambil oleh Jabatan Perikanan Negeri Perak dalam mengawal sebarang aktiviti berkaitan dengan ikan larangan sejajar dengan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, dsb, Bagi Ikan) (Pindaan) 2024.

“Bagaimanapun, (jumlah) ikan larangan masih terkawal (kerana ikan larangan) tidak dibenarkan diimport daripada luar negara,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Operasi Pemutihan dan Kesedaran Ikan Larangan di Premis Ikan Hiasan di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap.

Perikanan Perak sita 49 ikan larangan bernilai RM8,300
Pegawai Jabatan Perikanan Negeri Perak menunjukkan rampasan Pimelodidae (amazon redtail) antara senarai ikan dilarang import ke Malaysia ketika Operasi Pemutihan dan Kesedaran Ikan Larangan Di Premis/Kedai Akuarium lkan Hiasan Di Negeri Perak di sebuah premis Kampung Tawas, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 OKTOBER 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, operasi tersebut adalah kesinambungan daripada Ops Darat yang dilaksanakan sepanjang tahun ini di sekitar di Perak.

“Pada tahun 2024, sebanyak 23 operasi pemantauan (Ops Darat) di premis akuarium yang melibatkan hampir 30 premis akuarium di seluruh Perak seperti di Ipoh, Teluk Intan dan Ayer Tawar.

“Sebanyak 15 premis telah diperiksa, 105 ekor ikan larangan disita dan nilai sitaan adalah berjumlah RM 4,700.

Perikanan Perak sita 49 ikan larangan bernilai RM8,300
Pegawai Jabatan Perikanan Negeri Perak memeriksa Geophagus (ikan bongkok) antara senarai ikan dilarang import ke Malaysia ketika Operasi Pemutihan dan Kesedaran Ikan Larangan Di Premis/Kedai Akuarium lkan Hiasan Di Negeri Perak di sebuah premis Kampung Tawas, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 OKTOBER 2024.

“Modus operandi bagi operasi ini adalah menjalankan pemeriksaan dan rampasan ikan larangan yang melibatkan kesalahan yang telah diperuntukan dibawah Akta Perikanan 1985, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pindaan 2024) dan Seksyen 49 Akta 317.

“Ikan yang disita telah ditempatkan di pusat menyelamat di bawah Jabatan Perikanan Negeri Perak untuk dilupuskan,“ jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan operasi yang dijalankan ini adalah untuk memantau premis atau kedai akuarium ikan hiasan yang menjalankan aktiviti mengimport, memiliki, menjual, menternak dan mempamer (5M).

Perikanan Perak sita 49 ikan larangan bernilai RM8,300
Pegawai Jabatan Perikanan Negeri Perak memeriksa kolam ikan ketika Operasi Pemutihan dan Kesedaran Ikan Larangan Di Premis/Kedai Akuarium lkan Hiasan Di Negeri Perak di sebuah premis Kampung Tawas, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 OKTOBER 2024.

“Di samping itu, program kesedaran mengenai pengurusan ikan larangan juga akan dijalankan serentak bagi memberi penerangan ringkas mengenai larangan aktiviti 5M ini sekaligus membantu untuk mendaftarkan premis mereka di bawah Jabatan Perikanan Malaysia melalui sistem eKanMAS.

“Premis akuarium ikan hiasan yang ada menjalankan aktiviti 5M adalah wajib berdaftar dan mendapatkan Sijil Kebenaran lkan Larangan daripada Jabatan Perikanan Malaysia,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, sesiapa yang menjalankan aktiviti 5M ikan larangan tanpa kebenaran Ketua Pengarah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.- MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kaedah perikanan Perak akan dipinda, susulan ancaman spesies ikan asing

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI