Perpaduan kunci hadapi ancaman global – Saarani

IPOH – Perpaduan dibina melalui rasa kepunyaan apabila setiap warga dihormati, dilindungi undang-undang dan diberi peluang yang adil, manakala kesatuan mengurus kepelbagaian dengan bijaksana tanpa menghapuskan perbezaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dunia hari ini berdepan dengan ancaman yang semakin kompleks, merangkumi ekstremisme, jenayah terancang, serangan siber dan manipulasi maklumat.

“Sebuah negara mungkin memiliki sistem pertahanan yang kukuh, namun keselamatannya tetap rapuh sekiranya institusi kehilangan kepercayaan, ketidakadilan dibiarkan berlarutan dan sebahagian rakyat merasakan diri mereka tersisih daripada masa hadapan negara.

“Sebab itulah perpaduan perlu dibina melalui rasa kepunyaan, iaitu apabila setiap warga dihormati, dilindungi oleh undang-undang dan diberikan peluang yang adil untuk menyumbang, manakala kesatuan pula tidak menuntut kita menghapuskan perbezaan tetapi mengurus kepelbagaian dengan kebijaksanaan.

“Akhirnya perpaduan bukan dibina melalui slogan, tetapi melalui keyakinan bahawa setiap insan dihargai dan setiap suara mempunyai tempat dalam masyarakat.

“Dalam menghadapi tekanan geopolitik, konflik kemanusiaan, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi, dunia Islam perlu memperkukuh budaya ta’awun melalui kerjasama yang lebih erat dalam bidang ekonomi, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutup Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Penyelidikan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) merangkap Pengarah Persidangan WCIT 2026, Kolonel Bersekutu Dr Shamsul Jamili Yeob.

Dalam perkembangan lain, Saarani memaklumkan Kerajaan Negeri Perak akan terus menyokong usaha yang memperkukuh budaya ilmu, inovasi, persefahaman antara masyarakat serta kerjasama antarabangsa yang memberikan manfaat kepada rakyat dan negara.

Katanya, menerusi penganjuran WCIT yang telah masuk siri kelapan, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berupaya memimpin susulan ini dengan menghimpunkan dapatan persidangan, menghubungkan pihak berkepentingan dan memastikan perbincangan diteruskan melalui kerjasama yang lebih terancang.

“Sesungguhnya nilai sebuah persidangan tidak terletak hanya pada jumlah kertas kerja yang dibentangkan atau bilangan negara yang mengambil bahagian.

“Nilainya terletak pada sejauh mana ilmu yang dikongsi mampu membentuk dasar yang lebih baik, melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera dan menyumbang kepada sebuah dunia yang lebih adil,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sekolah Parlimen, PLKN didik generasi muda jadi pemimpin masa depan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI