Pertimbang cadangan galeri seni Allahyarham Datuk M Daud Kilau

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedia mempertimbangkan cadangan bagi mewujudkan galeri seni sebagai mengenang penglibatan Allahyarham Datuk M Daud Kilau dalam industri seni di Malaysia.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, kewujudan galeri seni ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pelancong sama ada di dalam atau luar negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri perlu melihat pelbagai sudut sebelum galeri itu dilaksanakan antaranya termasuklah mendapat persetujuan daripada ahli keluarga Allahyarham.

“Kita perlu berunding dengan keluarga terlebih dahulu. Walaupun, kerajaan negeri, kita tidak boleh buat sesuka hati. Kita perlu hormat pandangan ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Tourism Perak bersama Grab Malaysia, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Pengarah Strategi dan Bandar Luar Grab Malaysia, Ben Chin.

Pelantun lagu popular Cek Mek Molek itu meninggal dunia pada usia 85 tahun di Hospital Teluk Intan sekitar jam 4.40 petang Isnin lalu akibat jangkitan kuman dalam darah.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Awang Ngah; dua anak, Noraini, 58, dan Ahmad Zaini, 52, bersama sembilan cucu dan dua cicit.

Sementara itu, menyentuh kerjasama antara Grab Malaysia dengan Tourism Perak sebagai rakan kongsi strategik, Sze Yee berkata, pelaksanaan itu bagi memberi pelancong untuk memilih medium pengangkutan yang boleh dipercayai sepanjang melakukan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

“Kerjasama itu memberi tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu rakan kongsi e-hailing eksklusif, pengalaman hidangan lima bintang dengan Grab Food dan rakan pemandu Grab sebagai duta,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Jenazah M Daud Kilau selamat dikebumikan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI