Peserta kayuhan UiTM terserempak gajah di Banjaran Titiwangsa

GERIK – Terserempak dengan gajah liar merupakan antara pengalaman yang dilalui 12 peserta Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 Tahun Universiti Teknologi Mara (UiTM) menuju ke Belum Rainforest Resort (BRR), di sini, pada Rabu.

Bermula dari UiTM kampus Machang, Kelantan, kayuhan bertemakan ‘Menuju Kelestarian Alam Sekitar’ itu merupakan peringkat keenam dengan laluan sejauh 189 kilometer (KM) merentasi Banjaran Titiwangsa menuju ke BRR di Pulau Banding.

Ketua peserta kayuhan, Mohamad Zaki Musa 46 berkata, berhadapan cuaca panas serta bentuk muka bumi di Banjaran Titingwangsa dengan menggunakan basikal merupakan cabaran dalam kayuhan peringkat keenam berkenaan.

Namun Pembantu Tadbir Kewangan UiTM Shah Alam itu berkata, kepenatan mereka sedikit terubat apabila berpeluang melihat gajah liar seperti yang dikatakan ramai setiap kali melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik .

“Masa mengayuh kami terlihat seekor gajah liar tetapi bukanlah di atas jalan raya, jadi kami meneruskan kayuhan sambil berharap ia tidak keluar dari hutan

“Biasalah bila terserempak gajah, rasa cemas itu ada, nasiblah haiwan itu menampakkan diri dari belakang sahaja dan pegun di sebalik pokok di tepi jalan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi penamat peringkat ke-6 di Belum Rainforest Resort di sini.

Peserta Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 Tahun Universiti Teknologi Mara (UiTM) memulakan kayuhan menuju ke UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau di Belum Rainforest Resort, Gerik. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JUN 2024.

Tambah beliau lagi, kesemua 12 peserta kayuhan telahpun diberikan taklimat dan penerangan keselamatan lebih awal risiko melalui kawasan itu.

“Sebelum memulakan perjalanan ke BRR di Pulau Banding kami telah diberikan taklimat dan penerangan keselamatan mengenai risiko melalui laluan ini, malah kami disarankan untuk berkayuh siang hari.

“Ini kerana kebiasaannya kawanan gajah liar tidak berada di atas jalan raya kerana permukaan jalan tar yang panas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 Tahun UiTM, Norhilman Nordin berkata, semua peserta kayuhan telah diberi arahan untuk mengayuh mengikut kemampuan masing-masing memandangkan mereka merentasi Banjaran Titiwangsa dengan ketinggian lebih 1000 meter dari paras laut.

Ujar beliau, setiap peserta dinasihati mengayuh mengikut kelajuan masing-masing tanpa perlu mengejar peserta lain bagi mengelakkan mereka kepenatan mahupun mengalami kecederaan.

“Untuk cabaran kali ini amat berbeza kerana menempuh Banjaran Titiwangsa jadi peserta telah diberi taklimat jika tidak mampu mengayuh secara berkumpulan mereka boleh bergerak secara solo.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof Shahrin @ Sahib Sahibuddin beramah mesra dengan peserta Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 Tahun Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Belum Rainforest Resort, Gerik. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 JUN 2024.

“Alhamdulillah semua berjaya menamatkan kayuhan peringkat keenam ini sebelum kami menyambung kayuhan ke UiTM Arau, Perlis,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak BRR yang menaja penginapan peserta kayuhan sebelum berlepas ke UiTM Arau dalam misi mengumpul Hasrat setiap kampus UiTM di dalam kapsul yang dibawa.

Pada Khamis, semua peserta meneruskan kayuhan bagi laluan peringkat ke-7 dari Pulau Banding ke UiTM Arau, Perlis sejauh 198 kilometer.

Majlis pelepasan disempurnakan Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Shahrin @ Sahib Sahibuddin; Penasihat Pulau Banding Foundation, Maria Abd Rahman dan Pengurus Pulau Banding Foundation, Zulfadhlan Ahmad Khushairi.

Kayuhan selama dua minggu merentasi 11 peringkat laluan di seluruh Semenanjung Malaysia sejauh 2,000 kilometer itu akan berakhir pada 2 Julai ini di UiTM Shah Alam.

Simbolik kayuhan ini adalah membawa kapsul yang mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM dan aman dipahatkan di sebuah monumen yang dibina dan dirasmikan semasa sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos depan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI