KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dilihat masih mempunyai ketahanan sebagai sebuah gabungan politik walaupun berdepan kekalahan dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN), manakala kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pula disifatkan masih belum melalui ujian sebenar sebagai sebuah gabungan yang stabil.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, kekalahan dalam pilihan raya tidak semestinya bermaksud sesebuah gabungan politik sedang menuju kehancuran.
Menurutnya, dari sudut itu, PH masih memperlihatkan tahap ketahanan organisasi yang tinggi jika melihat kepada keupayaan gabungan tersebut menyerap tekanan, mengurus perbezaan dalaman dan kekal bersatu selepas berdepan keputusan yang buruk.
“Walaupun berdepan tiga keputusan mengecewakan pada PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, setakat ini belum ada mana-mana parti komponen PH mengumumkan keputusan untuk meninggalkan gabungan tersebut.
“DAP memang akan membahaskan kedudukannya dalam kerajaan pada kongres parti pada 16 Ogos, khususnya sama ada pemimpin DAP harus terus memegang jawatan dalam pentadbiran.
“Namun begitu, walau apa pun yang berlaku, Anthony Loke telah menjelaskan bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan keanggotaan DAP dalam PH atau sokongan parti tersebut terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mashitah berkata, perkembangan itu penting kerana ia menunjukkan perbahasan dalaman DAP lebih menjurus kepada cara parti itu harus memainkan peranan dalam kerajaan, bukannya langkah meninggalkan PH.
Katanya, komponan PH yang lain antaranya PKR dan Amanah juga tidak menunjukkan tanda bahawa mereka mahu meninggalkan gabungan berkenaan.
“Ini membuktikan bahawa PH bukan sekadar pakatan pilihan raya sementara. Hubungan antara parti komponennya telah melalui pengalaman panjang sejak era Pakatan Rakyat, pembentukan PH pada 2015, kemenangan PRU14, kejatuhan kerajaan pada 2020, tempoh sebagai pembangkang dan pembentukan kerajaan selepas Parlimen tergantung pada PRU15,” katanya.
Mashitah tuurt menjelaskan, pengalaman itu membentuk suatu tahap kematangan politik dan mekanisme dalaman yang tidak dimiliki oleh banyak kerjasama politik baharu.
Katanya, PKR, DAP dan Amanah mungkin berselisih mengenai kadar reformasi, pendekatan terhadap isu kaum dan agama serta hubungan dengan BN, tetapi mereka masih berkongsi kepentingan untuk mempertahankan kerangka politik berbilang kaum dan kedudukan PH sebagai gabungan nasional.
Apabila dibandingkan dengan hubungan BN-PN, katanya, PH masih mempunyai kelebihan dari segi kejelasan struktur dan pengalaman mengurus gabungan.
“Kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan, misalnya, belum pun diterangkan sebagai sebuah gabungan rasmi.
“Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkannya sebagai suatu ‘persefahaman’, bukannya pakatan politik formal.
“Melalui aturan tersebut, BN bertanding di 25 kerusi dan PN di 11 kerusi tanpa pertindihan sedangkan Bersatu bertanding secara berasingan di 24 kerusi selepas kerjasamanya dengan PAS berakhir.
“Persefahaman pilihan raya seperti ini boleh membawa kemenangan kerana ia mengurangkan pertandingan sesama parti yang memburu segmen pengundi Melayu yang sama. Walaupun begitu, mengelakkan pertembungan kerusi tidak sama dengan membentuk sebuah gabungan pemerintahan yang stabil,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan BN dan PN dalam beberapa PRN tidak boleh terus dianggap sebagai bukti bahawa kedua-duanya telah membentuk alternatif nasional yang kukuh.
Katanya, buat masa ini, kekuatan kerjasama itu lebih banyak bersandar pada sentimen penyatuan undi Melayu dan strategi mengelakkan pertembungan kerusi serta belum diuji dalam isu pembahagian kuasa selepas kemenangan, pengagihan jawatan dan penentuan parti yang akan mengetuai kerajaan.
“Kesimpulannya, keputusan PRN menunjukkan bahawa BN dan PN sedang memiliki momentum manakala PH sedang berdepan krisis keyakinan pengundi.
“Namun begitu, momentum pilihan raya tidak sama dengan kestabilan gabungan. BN-PN boleh menang melalui penyatuan undi, tetapi kerjasama itu masih belum mempunyai struktur, hala tuju dan formula pembahagian kuasa yang benar-benar jelas.
“PH pula mungkin kalah dalam beberapa medan, tetapi belum berpecah. Kekuatan utamanya ialah keupayaan parti komponen untuk kekal bersama walaupun dihimpit tekanan politik.
“Sekiranya PH mampu mengambil pengajaran daripada tiga kekalahan tersebut, mempercepat reformasi, memperbaiki komunikasi kerajaan dan menghidupkan semula semangat penyokong, gabungan itu masih berdaya saing untuk menghadapi PRU16,” katanya.
Untuk rekod, pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, gabungan BN dan PN memenangi 25 kerusi, manakala PH hanya menang 11 kerusi. – MalaysiaGazette


