Polis tahan dua lelaki ambil upah khianat dengan api, simbah cat

IPOH – Polis menahan dua lelaki selepas dipercayai terlibat dengan kesalahan mengambil upah daripada sindiket bagi melakukan khianat terhadap harta benda awam dengan api dan menyimbah cat di sini, pada Ahad.

Dua rakan yang berusia 27 dan 44 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Besar Chemor, dekat sini sekitar jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kedua-dua mereka ditahan selepas didapati bersangkut dengan kes khianat dengan api di sebuah rumah di Taman Badrishah, Lahat, yang turut menjejaskan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), pada Sabtu lalu.

“Pihak polis turut membuat rampasan barang kes, antaranya sebuah kereta jenis Proton Saga BLM, telefon bimbit dan pakaian daripada dua suspek itu.

“Semakan lanjut mendapati mereka masing-masing mempunyai 13 dan 20 rekod kes jenayah serta narkotik.

“Di samping itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Yahaya, kedua-dua lelaki itu direman selama tiga hari bermula 27 November bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan menawarkan perkhidmatan khianat itu menerusi iklan pada sebuah laman sosial dan hanya berkomunikasi melalui WhatsApp.

“Mereka mendakwa mula aktif sejak awal bulan ini, namun kami percaya mereka telah lama melakukan jenayah berkenaan. Oleh itu siasatan lanjut masih berjalan,” ujarnya lagi.

Tambah Yahaya, dengan penangkapan dua suspek itu, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes khianat dengan api dan baling cat di sekitar Bandaraya Ipoh.

Jelasnya, pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.

Terdahulu pada Sabtu lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak menerima panggilan maklumat berhubung kejadian kebakaran kereta jenis Proton X50 dipercayai mempunyai unsur khianat di sebuah rumah di Jalan Lahat Baru 3, Taman Badrishah pada jam 4.51 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad dalam satu kenyataan berkata, kereta SUV yang diparkir dalam garaj rumah itu terbakar pada kadar 30 peratus. -MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Perak catat lebih RM77 juta kerugian babit kes jenayah komersial

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI