Perak catat lebih RM77 juta kerugian babit kes jenayah komersial

IPOH– Sebanyak RM77.07 juta kerugian membabitkan 2,179 kes jenayah komersial direkodkan di Perak dalam tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata bagaimanapun jumlah kes yang direkodkan pada 2022 menunjukkan penurunan sebanyak 126 kes namun mencatatkan nilai kerugian lebih tinggi dalam tempoh sama tahun lalu iaitu lebih RM100.9 juta.

Menurutnya, antara kes yang mencatatkan jumlah tertinggi termasuklah jual beli atas talian, phone scam (penyamaran), tawaran kerja (job scam), pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

“Dalam tempoh sama, JSJK Perak berjaya mengesan dan membuat tangkapan ke atas 1,096 orang yang terlibat dalam pelbagai jenayah komersil.

“Kebanyakan daripada tangkapan ini merupakan pemilik akaun keldai,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata JSJK Perak turut berjaya membuat tangkapan ke atas kes pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian wang yang besar melibatkan ramai mangsa.

“Selain itu, kita turut berjaya mematahkan sindiket tipu nombor ramalan, ejen-ejen pencari akaun keldai serta kumpulan along yang melakukan perbuatan khianat seperti simbah cat merah dan ugutan kepada peminjam.

“Sebanyak 764 pertuduhan ke atas tangkapan dibuat sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya

Justeru, beliau berkata JSJK Perak giat menjalankan aktiviti pencegahan bagi memerangi jenayah scammer terutamanya melibatkan penipuan atas talian.

“Sejumlah 858 aktiviti dan program pencegahan dilaksanakan melalui pelbagai platform seperti media sosial, kempen, ceramah, syarahan, sembang santai, pameran dan media cetak,” jelasnya. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI