PRK Ayer Kuning: Pegawai Khas MB bukan wakil rakyat

IPOH – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan pembangkang kononnya Pegawai Khas Menteri Besar bertaraf wakil rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pegawai khas hanya menjalankan tugas yang diarahkan oleh menteri besar manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kebiasaannya dapat terus berurusan dengan menteri besar mengenai projek di kawasan yang diperlukan oleh rakyat.

“Bagi pegawai khas, saya minta turun padang pergi tengok bila ada permohonan daripada orang dalam kawasan pembangkang dan kemudian permohonan itu saya akan hantar balik kepada pegawai khas untuk turun siasat.

“Sama ada permohonan itu perlu atau tak perlu, urgent (segera) atau tidak, sama ada permohonan itu permohonan yang perlu diluluskan segera dan bajetnya ada BQ (Senarai Kuantiti), itu kerja pegawai khas dan dia (pegawai khas) tak boleh lulus (permohonan).

“Tetapi sebagai wakil rakyat biasanya dia boleh datang jumpa MB (menteri besar) dan dia akan maklumkan kepada MB tentang keperluan dalam kawasan dia. Itu bezanya.

“Sebab itu orang berlumba-lumba nak bertanding jadi wakil rakyat bukan berlumba-lumba nak jadi pegawai khas.

“Jadi sebab itu saya hendak orang Ayer Kuning melantik wakil rakyat kerajaan yang akan mewakili mereka. Pegawai khas, dia wakil dan bertugas dengan menteri besar manakala wakil rakyat adalah wakil kepada rakyat. Jadi itu beza dia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Perak, Muhammad Rif’aat Razman menerusi hantaran di Facebook menggambarkan rakyat di Ayer Kuning tidak akan rugi memilih calon dari Perikatan Nasional (PN) sebagai wakil rakyat mereka kerana Menteri Besar Perak masih boleh melantik pegawai khas di DUN itu.

Ini susulan kenyataan Saarani yang memaklumkan bahawa rakyat Ayer Kuning perlu membuat keputusan bijak dengan mengundi calon dari parti kerajaan memandangkan jika keputusan memihak kepada kemenangan parti pembangkang sekali pun, ia tidak mengubah kedudukan kerajaan sekarang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pegawai Khas MB tidak ganggu tugas wakil rakyat pembangkang – Saarani

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI