Projek nilai tinggi di Perak: Anak muda diminta rebut peluang pekerjaan, ekonomi

IPOH – Anak muda di Perak diminta untuk merebut peluang pekerjaan serta ekonomi baharu ekoran perkembangan projek bernilai tinggi yang sedang dan akan dibangunkan di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini ramai pihak dari luar negeri sudah mengintai peluang berkenaan di Tanjung Malim susulan Projek Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang akan dibangunkan di Proton City.

Kata beliau, kerajaan negeri tidak boleh menghalang sekiranya ada pihak luar yang ingin mencari peluang ekonomi baharu sekiranya anak tempat sendiri yang tidak mahu merebutnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dewan Belia Sesi Ketiga 2021/2022 di M Roof Hotel, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 DISEMBER 2023.

“Syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd atau Geely pada Selasa lepas memaklumkan berminat untuk membina sebuah universiti di Tanjung Malim.

“Takkan orang muda tak nampak, apabila ada sebuah universiti bermakna akan ada ribuan pelajar dalam universiti dan sudah tentu ada peluang-peluang untuk penambahan rezeki.

“Itu berlaku di Tanjung Malim, dan ia sudah bermula sekarang. Harga-harga tanah di situ telah pun meningkat, dan saya telah dihujani oleh permintaan-permintaan tinggi dari orang luar Perak (susulan perkembangan itu),” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama Mantan Dewan Belia Perak pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dewan Belia Sesi Ketiga 2021/2022 di M Roof Hotel, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 DISEMBER 2023.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dewan Belia Perak Sesi Ketiga 2021/2022 di Hotel M Roof, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Tambah Saarani, pembangunan projek berkenaan bukan sahaja akan memberi impak positif kepada Tanjung Malim, malah ia dijangka akan membawa limpahan ekonomi baharu hingga ke Daerah Batang Padang, iaitu di Tapah.

Di samping itu beliau berkata, anak muda juga harus merebut peluang ekonomi dan pekerjaan baharu di sebuah kawasan perindustrian berteknologi tinggi yang akan diwujudkan di Kerian.

Kata beliau, ia adalah usaha kerajaan negeri untuk menyediakan kawasan perindustrian alternatif kepada pihak industri di Pulau Pinang yang mengalami kesesakan kawasan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini bersetuju untuk mengumumkan pembukaan sebuah kawasan perindustrian berteknologi tinggi akan dibangunkan di Kerian, sebagaimana yang sudah ada di Kulim.

“Dan minggu lepas (dalam mesyuarat) Exco Kerajaan Negeri telah mengenal pasti tapak untuk pembangunan projek tersebut.

“Perkara itu juga saya telah maklumkan kepada Perdana Menteri ketika bertemu dengan beliau dalam satu majlis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini,” ujar Saarani lagi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dewan Belia Sesi Ketiga 2021/2022 di M Roof Hotel, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 DISEMBER 2023.

Pada sama sama, beliau berharap, semua Ahli Dewan Belia Perak dapat menjadi jurucakap dalam mengajak rakan-rakan lain untuk mengambil peluang atas segala inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan negeri ini.

“Mudah-mudahan, selepas ini kita tidak lagi mendengar ada anak-anak Perak yang terpaksa merantau semata-mata untuk mendapat pekerjaan.

“Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan sedang bekerja keras untuk menjadikan Perak sebagai sebuah negeri maju yang bukan sahaja mampu menyediakan peluang pekerjaan, tetapi peluang pekerjaan yang berkualiti dan memberi pulangan tinggi kepada rakyat khususnya orang muda,” katanya.-MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pembangunan AHTV di Tanjung Malim dijangka mula tahun depan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI