TAMPIN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan belum ada sebarang perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen perlu mengambil kira pandangan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan selain tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan yang dianggotai 18 parti politik memerlukan rundingan bersama sekiranya terdapat keperluan untuk mempertimbangkan pembubaran Parlimen lebih awal.
“Saya belum pernah mengadakan perbincangan dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana dalam Kerajaan Perpaduan terdapat 18 parti dengan sekurang-kurangnya lima parti gabungan.
“Jika geopolitik berubah, tentunya tarikh tamat sesuatu tempoh penggal Parlimen itu akan diambil kira oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Ketua Majlis kepada Parlimen Malaysia untuk mengadakan rundingan dengan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau bersetuju sekiranya PRU16 diadakan lebih awal, Ahmad Zahid menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri.
“Walau bagaimanapun, ia tertakluk atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong untuk mempersetujui sama ada pembubaran itu boleh dilakukan awal atau sebaliknya,” katanya.
Dalam perkembangan lain berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Ahmad Zahid menolak dakwaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa beliau bersikap angkuh sepanjang kempen.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, seruan supaya berlaku pertukaran kerajaan adalah perkara biasa dalam persaingan politik dan tidak seharusnya dianggap sebagai keangkuhan.
“Tidak ada keangkuhan (ketika berkempen) kalau kita menyarankan agar tukar kerajaan. Mana-mana parti politik atau gabungan yang memerintah Negeri Sembilan mahu supaya dikekalkan, yang tidak memerintah mahu supaya diambil alih (dan) itu tidak angkuh.
“Jawablah dengan cara yang baik, berhemah dan tidak menyentuh peribadi. Don’t ever touch below the belt, itu sahaja sebagai panduan,” katanya. – MalaysiaGazette


