IPOH – Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) perlu bijak dalam mengimbangi keperluan rakyat dengan pematuhan terhadap undang-undang serta prinsip tadbir urus yang baik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus berkesan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, rakyat sentiasa mengharapkan penyelesaian, keputusan yang pantas dan perkhidmatan yang mudah.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
“Mengimbangi semua tuntutan ini bukanlah satu tugas yang mudah. Sebab itulah saya sentiasa berpendapat bahawa keupayaan terbesar seorang pegawai PTD bukan hanya memahami peraturan.
“Keupayaan yang lebih penting ialah kebijaksanaan menggunakan peraturan itu untuk menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengabaikan prinsip tadbir urus yang baik.
“Di situlah bezanya antara seorang pegawai yang hanya mengurus proses dengan seorang pegawai yang benar-benar memimpin proses.
“Saya juga percaya, pentadbiran yang cemerlang bukan pentadbiran yang hanya mampu berkata ‘tidak boleh’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Cawangan Perak Kali Ke-3 Tahun 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam pada itu, Saarani menjelaskan bahawa pentadbiran yang cemerlang adalah yang sentiasa berusaha mencari jalan supaya sesuatu perkara boleh dilaksanakan dengan betul, cepat dan mematuhi semua peraturan ditetapkan.
“Saya harap budaya ini terus subur dalam pentadbiran negeri Perak. Budaya yang melihat setiap cabaran sebagai amanah untuk diselesaikan bukan alasan untuk bertangguh atau untuk saling menyalahkan.
“Tetapi menjadikannya peluang untuk membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mampu memberikan penyelesaian yang terbaik kepada rakyat,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kajian Separuh Penggal pastikan Pelan Perak Sejahtera 2030 kekal relevan


