Rempuh lori muatan tanah: Ibu maut, anak cedera

TELUK INTAN – Dua beranak tersepit selepas lori satu tan yang dinaiki merempuh belakang lori muatan tanah di Jalan Sungai Kampung Air Hitam, dekat sini, pada Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Ong Kok Leong, 43, mengalami kecederaan ringan sementara ibunya, Yap Soh Choo, 74, maut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan nahas jalan raya itu pada jam 4.02 petang.

Katanya, sejurus selepas itu enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan diatur gerak ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer (km) dari balai.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati terdapat dua mangsa tersepit pada bangkai lori satu tan. Mangsa wanita berusia 74 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Anggota bomba menggerakkan operasi membawa keluar kedua-dua mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Tambah Sabarodzi, mangsa cedera diserahkan kepada pasukan perubatan sementara mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (TBK), Khairul Azhar Yaacob tamat pada jam 4.46 petang. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kereta terbabas: Lelaki maut, tersepit

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI