Ribut, banjir Ipoh: 83 keluarga terima wang ihsan RM600

IPOH – Seramai 83 keluarga yang terkesan akibat bencana ribut dan banjir yang melanda di beberapa kawasan di Ipoh menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM600.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain itu setiap 77 keluarga di Meru dan enam di Kampung Sri Kinta masing-masing turut menerima sumbangan kotak makanan bagi meringankan beban mereka.

“Kerajaan negeri menyalurkan bantuan wang ihsan sebanyak RM300, juga sumbangan peribadi saya RM300 dan menjadikan ia berjumlah RM600 kepada setiap keluarga yang terjejas.

“Manakala usaha sedang dibuat bagi menyelaraskan bantuan-bantuan lain termasuk dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM1,000 serta Tabung Musa’adah Madani Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

“Saya dimaklumkan Pejabat Parlimen Tambun dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta juga telah membuat langkah awal dengan menggantikan terus bumbung rumah di Meru yang kerosakannya pada tahap minima selain mengedarkan kanvas untuk menutup sementara bumbung yang rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan wang ihsan dan kotak makanan kepada enam keluarga yang terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta, dekat sini, pada Selasa.

Tambah Saarani, berdasarkan laporan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, sekurang-kurangnya 11 lokasi di sekitar Ipoh dilanda banjir kilat yang mana hampir kesemuanya sudah surut setakat ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang menjalankan kajian sebagai usaha jangka panjang mengelakkan daripada berlaku kejadian banjir yang teruk pada masa akan datang.

Namun katanya, usaha yang digerakkan PBT bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), itu memerlukan satu proses yang panjang.

“Di Hulu Perak mereka telah membuat kajian dan telah membuat cadangan balas kepada kerajaan negeri. Namun ia memerlukan satu peruntukan yang besar oleh Persekutuan,” jelasnya lagi.

Hujan lebat berterusan lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya Ipoh dilanda banjir kilat.

Keadaan itu mengakibatkan enam keluarga di Kampung Seri Kinta terpaksa dipindahkan ke PPS bagi tujuan keselamatan.

Ribut bersama angin kencang yang melanda turut menyebabkan 40 rumah penduduk Taman Meru 2C di Meru Raya terjejas dengan sebahagian besar mengalami kerosakan pada bahagian bumbung. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

‘Banjir Kampung Sri Kinta terburuk sejak 40 tahun’

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI