MB akan melawat mangsa banjir di Hilir Perak, Kerian

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Hilir Perak dan Kerian, pada minggu ini.

Katanya, ia bertujuan bagi melihat sendiri situasi banjir selain akan menyampaikan bantuan yang diperlukan bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

“Saya baca melalui laporan media, ada mangsa banjir yang sudah dua minggu ditempatkan di PPS di kedua-dua daerah berkenaan.

“Jadi selepas Mesyuarat Exco esok (Rabu), saya akan melawat mangsa banjir di Hilir Perak, dan lusa (Khamis) di sekitar Kerian,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama mangsa banjir selepas selesai menyampaikan sumbangan di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan wang ihsan dan kotak makanan kepada enam keluarga yang terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta, dekat sini, pada Selasa.

Saarani sebelum itu turut melawat dan menyampaikan bantuan sama kepada mangsa ribut yang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru susulan kejadian bencana di Taman Meru 2C pada petang Isnin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada sidang media selepas selesai menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 NOVEMBER 2023.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan agar mereka yang terjejas banjir namun tidak berpindah ke PPS untuk segera berbuat demikian dan memberi kerjasama baik dengan pasukan penyelamat.

Katanya, ia bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini ekoran situasi itu.

Setakat petang tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan seramai 230 mangsa dari 68 keluarga ditempatkan di enam PPS di Kinta, Kerian dan Hilir Perak. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ribut, banjir Ipoh: 83 keluarga terima wang ihsan RM600

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI