Rumah percutian jadi ‘call centre’ diserbu

IPOH – Polis menahan 97 warga asing termasuk seorang lelaki tempatan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian atau call centre di Pulau Pangkor, Manjung, Selasa lalu.

Difahamkan, rumah percutian itu baru berdaftar pada hari pertama untuk dijadikan call centre sebelum diserbu oleh pihak berkuasa.

Serbuan yang dilakukan di sebuah rumah percutian itu dijalankan anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Polis serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan itu melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita warganegara China serta 65 lelaki dan 29 wanita warganegara Vietnam berusia antara 20 hingga 47 tahun.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.

“Suspek yang ditahan disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan tidak wujud di atas talian.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga unit komputer riba, 120 unit telefon bimbit, dua unit modem, dua buah buku nota dan wang tunai berjumlah RM51,254,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI