SEPANG – Kontinjen negara berjaya melepasi sasaran lima pingat emas yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) apabila setakat ini telah meraih enam pingat emas sekali gus mencatat pencapaian membanggakan di pentas sukan antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pencapaian itu membuktikan semangat juang tinggi atlet negara yang bertungkus-lumus mengharumkan nama Malaysia.
Menurut beliau, sasaran pingat kali ini ditetapkan berdasarkan warna pingat khususnya emas yang disifatkan sebagai satu langkah berani oleh KBS dan MSN.
“Alhamdulillah, sasaran pingat emas kita adalah sebanyak lima. Semalam, kita telah mencapai sasaran itu dan pada malam tadi kita menerima berita gembira apabila berjaya melepasi sasaran dengan memperoleh enam pingat emas.
“Saya sangat optimis kita akan menambah lagi kutipan pingat emas selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen serta atlet negara yang disifatkan sebagai wira dan wirawati Malaysia atas pengorbanan dan komitmen mereka sepanjang temasya.
Mengulas mengenai ganjaran kepada atlet, Dr. Mohammed Taufiq berkata, imbuhan untuk pemenang pingat emas telah dipersetujui dan ditetapkan lebih awal.
“Memang ada imbuhan untuk atlet yang memenangi pingat emas. Bagi perkara lain termasuk sebarang tambahan, ia akan dibincangkan kemudian.
“Setakat ini, imbuhan yang diumumkan adalah seperti yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette


