Satu lagi sekolah di Perak terima ancaman bom

MANJUNG – Sebuah sekolah rendah khas di Sitiawan, di sini menerima emel ancaman bom daripada individu tidak dikenali kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung ancaman bom itu daripada guru besar sekolah berkenaan sekitar jam 2 petang hari ini.

Menurutnya, guru besar berusia 48 tahun itu menyatakan menerima emel daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan ancaman bom di sekolah-sekolah pada jam 11.20 pagi.

“Satu emel ancaman bom turut diterima daripada seorang individu tidak dikenali pada jam 11.57 pagi kelmarin.

“Emel tersebut lebih berunsurkan kepada ugutan jenayah dengan menyatakan bahawa ‘bahan letupan telah ditanam di sekolah’ dan turut mendatangkan kebimbangan secara menakut-nakutkan pihak sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Susulan daripada maklumat itu, beliau berkata, sepasukan anggota dan pegawai polis dibantu dengan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke sekolah berkenaan bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh.

Katanya, kes tersebut masih dalam siasatan dan punca kejadian belum diketahui dan usaha mengesan individu terlibat giat diteruskan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” jelasnya

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Suhailah Sahabat di talian 016-584 5480 bagi membantu siasatan pihak polis.

Pada Selasa lalu, sebuah sekolah antarabangsa di Ipoh menerima ancaman bom menerusi satu kiriman emel daripada individu yang tidak dikenali.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Bina balai bomba khusus di AHTV

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI