TELUK INTAN – Seorang maut manakala dua cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan berhampiran Plaza Tol Rehat dan Rawat (RNR) Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dekat sini pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.32 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dibantu BBP Hutan Melintang digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori 25 tan tanpa muatan, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV.
“Pemandu Toyota Vellfire, wanita berusia 59 tahun mengalami kecederaan parah dan telah dikeluarkan oleh orang awam manakala penumpang wanita berusia 54 tahun yang ditemui dalam keadaan tersepit di tempat duduk penumpang hadapan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa lelaki berusia 50 tahun yang menaiki kereta Honda HRV hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lori berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota mengaplikasikan Konsep SAVER dan melaksanakan kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas rescue cutter ‘power unit’.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa cedera diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan KKM dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans,” ujarnya.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya jam 9.20 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki maut, lima ahli keluarga selamat, kereta terbabas masuk longkang


