SERI ISKANDAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini berkenan merasmikan Masjid Bandar Universiti di sini, selain berbuka puasa bersama jemaah di masjid berkenaan.
Turut mengiringi keberangkatan baginda yang tiba di masjid berkenaan pada jam 7 malam itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang- Undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin.
Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok bunga tanjung atau mimusops elengi dan seterusnya membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid tersebut.
Seterusnya, baginda mencemar duli berbuka puasa bersama lebih 500 orang jemaah dan menunaikan solat Maghrib sebelum berkenan berangkat ke majlis santapan, diikuti dengan solat Isyak serta solat Tarawih.
Masjid yang boleh menampung sehingga 1,200 jemaah pada satu-satu masa itu mula dibina pada Ogos 2016 dan siap sepenuhnya tiga tahun kemudian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Islam tidak boleh dibiarkan kelihatan suram – Sultan Perak