Tak boleh terima cerai talak 3, pemandu pecahkan cermin kereta bekas isteri

MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat memecahkan cermin kereta bekas isteri, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Haiidhir Yussof, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Difahamkan, perbuatan itu berpunca selepas bekas isteri tertuduh tidak mengangkat panggilan telefon dan tidak dapat menerima keputusan Mahkamah Syariah cerai talak tiga dilafazkannya adalah sah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan khianat terhadap cermin hadapan kereta bekas isterinya, berusia 41 tahun dengan niat menyebabkan kerosakan bernilai RM480.

Perbuatan itu dilakukan semasa berada di kawasan letak kenderaan Mahkamah Syariah Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 11.45 pagi 14 Mac lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM6,000.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Ishak Mohd Kari merayu jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu dengan gaji asas hanya RM1,500 sebulan selain perlu menanggung anak-anaknya bersama bekas isteri.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dan kes akan disebut semula 9 Mei ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI