‘Tak sangka, ingat dilanggar kereta, rupanya lori ketika berjalan kaki’ – Waris

KUALA LUMPUR – “Anak ada tengok live Tik Tok (kemalangan ini), tapi tidak sangkalah, ingatkan kemalangan dengan kereta rupanya dilanggar lori ketika berjalan kaki”.

Itu yang kongsikan waris tiga beranak yang maut dan seorang wanita cedera selepas dirempuh sebuah lori milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.

Waris mangsa dikenali sebagi Kak Siti, 50-an berkata, dia sekeluarga dimaklumkan mengenai kemalangan itu sekitar jam 7 pagi tadi sebelum bergegas dari Tanjung Malim, Perak ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Selalunya kalau mereka hendak turun Kuala Lumpur, mereka akan beritahu. Tetapi kali ini mereka senyap-senyap bercuti ke Kuala Lumpur. Kami tahu mereka memang ada rancangan untuk datang ke sini.

“Kami kali terakhir bertemu mereka sekeluarga pada 26 Julai lalu ketika menghadiri kenduri perkahwinan anak saya di Tanjung Malim. Memang tidak sangka itu menjadi pertemuan terakhir kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di IPFN di sini, hari ini.

Tambah Siti, seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 28 tahun yang tidak menyertai perjalanan berkenaan sudah berkahwin dan berada di kampung sebelum datang ke Kuala Lumpur selepas mendapat berita mengenai kejadian itu.

Katanya, anak sulung mangsa telah ke hotel untuk mengambil barangan keluarga selepas dimaklumkan mengenai tragedi itu.

Sementara itu,  anak saudara kepada Allahyarham Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, memberitahu, arwah sempat menghubungi kakaknya jam 10.30 malam sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur.

Zaid Darfis, 39, berkata, Shaik Mohd Firdaus memberitahu keluarganya tiba di ibu negara semalam untuk menziarahi ibunya di Semenyih hari ini.

“Arwah sempat hubungi kakak beritahu sudah sampai di Kuala Lumpur. Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas mentua telefon kira-kira 7.30 pagi tadi.

“Memang terkejut….lepas itu bila tengok Twitter, TikTok baru nampak kes ini (tular),” ujarnya.

Tambah Zaid, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham ketika majlis perkahwinan anak sulongnya di Kampar, Perak beberapa bulan lepas.

“Masa jumpa itu arwah macam biasa sahaja dan arwah seorang yang baik dan ramah. Kejadian ini memang tak disangka,” katanya.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, identiti tiga beranak yang maut dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi sudah dikenal pasti.

Mereka ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, yang merupakan pesara tentera bersama dua anak perempuannya,  Siti Nor Sazlim, 25 dan Siti Darwisyah Auni, 12.

Sementara itu, isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang turut menjadi mangsa dalam kejadian itu kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Difahamkan, kesemua jenazah akan dibawa ke Kampar, Perak untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu selepas proses bedah siasat di sini selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI